Categories
SELANGOR

MBSA tawar bayar kurang kompaun hingga 80%

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun sehingga 80 peratus terutamanya bagi mereka yang melakukan kesalahan tempat letak kereta.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, Orang Kena Kompaun (OKK) berpeluang merebut tawaran istimewa itu sepanjang bulan Disember ini.

mbsa samanKatanya, kempen ini bagi menggalakkan OKK untuk menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan
kompaun masing-masing.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan kompaun ini terutamanya kepada mereka yang melakukan kesalahan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007.

“Kesalahan itu antaranya termasuk kesalahan tidak mempamerkan kupon kenderaan dan tidak meletakkan kenderaan di petak letak kereta yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Shahrin, MBSA dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertindak
menyenarai hitamkan pesalah yang gagal menyelesaikan kompaun MBSA dengan memperkenalkan sistem ‘I-Blacklist’.

“Sehubungan itu, MBSA menyeru orang ramai khususnya yang memiliki tunggakan kompaun agar mengambil peluang terhadap kempen ini untuk menyelesaikan kompaun masing-masing,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama Wisma MBSA, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

MBSA turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ (SAOW) dan kaunter bergerak pada setiap Sabtu pada masa, tempat dan tarikh ditetapkan.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung jenis kesalahan yang layak mendapat kompaun dan lain-lain, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Hasil dan Pelaburan MBSA di talian 03-5522 2882 ataupun layari laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.