Categories
SELANGOR

Syabas: ‘Smartball’ bantu selamat air tanpa hasil 66 juta liter air sehari

SHAH ALAM 5 DIS: Sebanyak 66 juta liter sehari (JLH) air tanpa hasil (NRW) dapat di selamatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelang September 2016.

Pengarah Eksekutif Projek dan NRW Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Yusof Badawi, berkata ini dapat dicapai melalui penggunaan teknologi baru, ‘Smartball’ yang akan dimasukkan ke dalam saluran paip bagi memeriksa sebarang kebocoran.

syabassBeliau berkata dalam tempoh dua tahun (Sept 2014-Sept 2016) sebanyak 2,400 kilometer (km) saluran paip akan dapat diperiksa sekali gus mengurangkan kadar NRW yang kini mencecah 1,549 JLH sehari untuk tempoh Januari hingga Oktober lepas.

“Kadar NRW kini ialah sebanyak 33.80 peratus dan penggunaan sistem ini dijangka dapat mengurangkan NRW kepada 30.75 peratus.

“66 JLH itu bersamaan 1.5 kali ganda kapasiti loji rawatan air Wangsa Maju,” katanya dipetik Bernama.

Menurut Yusof, Syabas telah menguji sistem tersebut sejak Februari 2013 dan terbukti efisien untuk mengesan kebocoran pada saluran paip.

Sehingga November lepas, 500km saluran paip diperiksa menggunakan sistem ini dan 250 kebocoran dikesan sekali gus menjimatkan 13.9 JLH air terawat, katanya.

Yusof berkata melalui kaedah tersebut, bola bersaiz 300 milimeter berisi bateri, komponen elektronik dan instrumen akan bergerak mengikut aliran air dan menyalurkan maklumat terperinci mengenai kedudukan setiap kebocoran pada saluran paip.

“Setiap kali melalui saluran yang bocor, sistem ini akan mengeluarkan bunyi dan ia dapat mengesan kebocoran sekecil 0.1 liter seminit,” jelasnya.

Tambahnya, sistem itu sesuai digunakan di sepanjang 6,000 km saluran paip air besar di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.