Categories
SELANGOR

Syarat dapat Kebenaran Merancang, pemaju perlu bina Rumah Selangorku

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri menegaskan pemaju perlu membina Rumah Selangorku dalam projek pembangunan dirancang jika ingin mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandsar Abdul Samad berkata, ia adalah antara syarat ditetapkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) ke atas pemaju bagi memastikan pembinaan Rumah Selangorku khususnya jenis A iaitu rumah kos rendah berjalan lancar.

Rumah SelangorkuKatanya, Rumah Selangorku perlu dibina terlebih dahulu atau sekali dengan pembangunan jenis lain dan PBT tidak dibenarkan meluluskan KM bagi fasa lain juga kos bebas selagi sebahagian daripadanya tidak dibina.

“Pembinaannya diletakkan dalam fasa awal pembangunan dan senarai pembeli diperoleh daripada LPHS melalui Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah (SPPR).

“Mereka perlu memasukkan syarat nyata tanah sebagai ‘Rumah Selangorku’ di dalam surat hak milik tanah. Pemaju juga disyaratkan membina rumah jenis itu dalam tmepoh dua tahun dari tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan KM oleh PBT,” katanya ketika menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Iskandar berkata, kegagalan pemaju memulakan kerja pembinaan dalam tempoh dua tahun daripada kelulusan akan menyebabkan ia ditarik kembali.

iskandarKatanya, Kerajaan Negeri akan mengarahkan PBT untuk mengeluarkan arahan “Stop Work Order” kepada pembangunan fasa lain atau kos bebas jika pemaju gagal menyiapkan pembinaan rumah kos rendah.

“Kerajaan Negeri mengambil tindakan ke atas pemaju yang gagal menyiapkan projek dalam jangka masa ditetapkan dengan mendapatkan nama Ahli Lembaga Pengarah daripada Suruhajaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenarai hitam dan turut dipaparkan dalam laman sesawang LPHS.

“Nama pemaju disenarai hitam tidak akan dibenar melaksanakan sebarang pembangunan di Selangor termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik saham sahaja di bawah syarikat pemaju lain,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.