Categories
NASIONAL

Fomca kesal harga barang terus bebankan pengguna

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) kesal apabila penurunan harga minyak tidak memberikan kesan positif terhadap penurunan harga barang yang kini masih membebankan pengguna.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, keadaan itu menyaksikan peruncit dan peniaga seakan mengambil kesempatan apabila kenaikan harga minyak berlaku.

Mohd Yusof berkata, jika sebelum ini kenaikan harga minyak dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang, namun pola penurunan tidak berlaku walaupun ia berkuatkuasa, pada 1 Januari lalu.

Gaji naikKatanya, harga barangan meningkat kesan kenaikan harga minyak kerana melibatkan kos pengangkutan dan perkara itu sudah diketahui masyarakat yang semakin berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Seharusnya, apabila harga minyak turun, harga barangan juga perlu turun kerana kos pengeluaran dan pengangkutan menurun.

“Namun, kita tengok tiada perkhabaran yang memaklumkan kedai menurunkan harga barangan. Ini menunjukkan tiada kaitan penurunan harga minyak dengan barangan.

FOMCA“Seolah-olah, di negara kita ini pekedai sentiasa ingin mengambil kesempatan dengan menjadikan satu sebab untuk menaikkan harga,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Jelasnya, ketiadaan undang-undang khusus yang diguna pakai dalam isu itu mengakibatkan peruncit dan peniaga enggan menurunkan harga barangan.

Pada masa sama, Fomca memaklumkan tidak menerima sebarang aduan berhubung kewujudan stesen minyak yang masih enggan menurunkan harga minyak pada kadar baru.

Berkuatkuasa 1 Januari lalu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan rarga runcit bagi RON95 ditetapkan pada RM1.91 seliter, RON97 pada RM2.11 seliter dan diesel RM1.93 seliter.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.