Categories
SELANGOR

Kembangkan sektor peruncitan jana ekonomi

Oleh: AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 20 JAN: HomePro diharap mengembangkan perniagaannya ke Subang Jaya dan Petaling Jaya bagi merancakkan sektor peruncitan dan peluang pekerjaan.

Exco Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata kawasan itu sesuai kerana mempunyai kepadatan penduduk selain dapat menjana kemajuan.

Home PRO“Keputusan HomePro beroperasi di sini merupakan berita baik kerana ia menunjukkan Malaysia pilihan utama pelaburan ahli perniagaan terkemuka di rantau ini.

“Industri peruncitan di Selangor juga merupakan salah satu sektor yang kukuh,” katanya.

Pengarah Urusan HomePro Malaysia, Anuchar Jitjaturunt berkata kejayaan pembukaan cawangan pertamanya di IOI City Mall membuktikan Malaysia pilihan tepat pelabur mengembangkan sektor perniagaan.

“Malaysia mesra perniagaan, mempunyai perkembangan ekonomi stabil melalui peningkatan projek pembangunan.

“Kami percaya HomePro mampu memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Hadir sama dalam majlis perasmian Pengerusi HomePro Thailand, Anant Asavabhokhin bersama ahli lembaga pengarah.

HomePro mula diasaskan pada 1995 dan ketika ini mempunyai lebih 70 cawangan di Thailand.

Di Malaysia, HomePro mensasarkan pembukaan 12 cawangan dengan jumlah pelaburan bernilai RM500 juta dan menyediakan hampir 2,000 peluang pekerjaan.

HomePro dalam program itu menghulurkan bantuan banjir yang diserahkan kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (Pantas), Hamsah Djabir mewakili Exco Kebajikan, Dr Daroyah Alwi.

Sumbangan berbentuk keperluan harian penduduk seperti tilam, bantal dan selimut dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.