Categories
SELANGOR

PKNS FC sasar dua tangga teratas saingan Liga Premier

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 JAN: PKNS FC mensasarkan kedudukan dua tangga teratas dalam saingan Liga Premier 2015 dan bertekad kembali ke kancah Liga Super 2016 setelah mengakhiri cabaran pada kedudukan akhir musim lalu.

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar, berkata sasaran berkenaan dibuat setelah pasukan itu mendapat mandat dan sokongan daripada Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali serta pengurusan perbadanan sendiri.

pkns 3Katanya sasaran itu adalah realistik dengan kehadiran barisan jurulatih profesional ditambah adunan pemain handal tempatan dan antarabangsa.

“Pasukan lain pasti menghidang cabaran besar, namun kami optimis memberi saingan berdasarkan barisan pemain berpengalaman dan sedang meningkat naik.

“Pemain PKNS FC adalah kelompok berdisiplin, mempunyai semangat berpasukan tinggi dan ingin menaikkan imej PKNS,” katanya pada Majlis Pengenalan Pasukan PKNS FC di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.

Zubaidah berkata meskipun prestasi pasukan itu kurang memberangsangkan pada musim lalu, namun beliau memberi jaminan PKNS FC bangkit dan mendapat kedudukan terbaik.

Katanya PKNS FC juga akan menumpukan kepada usaha pembangunan bola sepak bagi melahirkan bakat baru yang boleh diketengahkan sama ada di peringkat kelab, negeri mahupun negara.

“Untuk musim 2015, PKNS FC masih mengekalkan sebahagian besar pemain sedia ada di samping beberapa pemain baru yang dicadangkan oleh barisan kejurulatihan.

“Selain itu, kami juga turut menyertai semula Piala Presiden 2015 pada musim ini,” katanya lagi.

Bagi musim ini, PKNS FC memberi kepercayaan kepada Ketua Jurulatih, E.Elavarasan dalam mencorakkan pasukan serta mencapai sasaran ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Pengurus Pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid memaklumkan PKNS FC akan menggunakan khidmat empat pemain import iaitu dari Argentina, Jepun serta mengekalkan penyerang berbisa dari Liberia, Patrick Ronaldinho Welh bagi memantapkan pasukan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.