Categories
NASIONAL

Polis patut bawa balik Sirul Azhar, jangan cuai

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 19 JAN: Kerajaan perlu bertindak menjejaki dan membawa pulang Koperal Sirul Azhar Umar ke Malaysia untuk menjalani hukuman bersama Cif Inspektor Azilah Hadri.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi bersikap adil terhadap Azilah dan sekiranya gagal, ia bakal mendatangkan persepsi negatif pada pandangan rakyat.

ALTANTUYA“Pada saya ini kecuaian yang berlaku dalam aspek pengurusan kes jenayah dalam negara kerana ia kes yang besar.

“Kita minta Polis mencari Sirul Azhar sehingga dapat kerana tentunya tidak adil kalau Azilah sahaja dikenakan hukuman,” katanya kepada SelangorKini di sini, semalam.

Beliau berkata, persoalan juga wujud dan diyakini ada pihak tertentu yang menasihati Sirul Azhar untuk ke Australia kerana bukan semua orang mengetahui negara terbabit tidak membenarkan ekstradisi dalam kes gantung sampai mati.

“Diyakini ada kelompok tertentu yang memberi nasihat kepadanya yang akhirnya menyebabkan beliau memilih Australia sebagai destinasi.

“Kerajaan khususnya menteri dalam negeri mengambil serius perkara ini kerana hal seperti ini tidak boleh ‘double standard’,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu berkata, pihak penghakiman juga diminta berwaspada dalam isu itu kerana rakyat melihat dan berangapan ia sebahagian konspirasi untuk memastikan mereka berdua bakal bebas dan tidak dikenakan hukuman.

Beliau berkata, cubaan membawa kes Sirul Azhar ke mahkamah Australia akan membabitkan satu siri undang-undang dan bakal memberi kesan kepada negara.

“Kalau kita nak failkan ke Australia tentu akan membabitkan kos dan sekiranya kita kalah tentunya akan membabitkan imej negara.

“Dalam hal ini saya tidak fikir rundingan G2G (kerajaan dan kerajaan) akan berjalan dengan baik,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.