Categories
SELANGOR

Sistem parkir berkupon MPSJ atasi masalah kawasan komersial

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 24 JAN: Sistem parkir berkupon yang bakal dilaksanakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diyakini mampu menyelesaikan beberapa isu melibatkan masalah meletak kenderaan di kawasan komersial.

Pengurus kilang, Mohd Karim Mohd Jai, 65, berkata keadaan itu berbeza dengan sistem parkir percuma sebelum ini yang menggalakkan pemandu meletakkan kenderaan di petak parkir dalam jangka masa melampau.

20150124_105009“Contohnya, di kawasan kilang saya yang turut dibanjiri bengkel kenderaan lain. Selalunya, kenderaan rosak atau yang sudah dibaiki diparkir lama hingga pelanggan kami tidak ada tempat atau terpaksa parkir jauh.

“Ini agak mengganggu kelancaran urusan kami,” katanya kepada Selangor Kini.

MPSJ melaksanakan sistem itu bermula 2 Februari ini selaras dengan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Mengenai Tempat Letak Kereta) MPSJ pindaan 2014 membabitkan kadar RM0.50 sejam.

Bagi anak jati Subang Jaya, Wong Kim Hock, 60, kadar yang dikenakan MPSJ itu adalah berpatutan dan sesuai dengan kemampuan pengguna di kawasan berkenaan.

“Penggunaan kupon juga adalah lebih praktikal berbanding mesin syiling yang lebih banyak menyusahkan pengguna.

“Cuma, MPSJ perlu memastikan kupon parkir mudah didapati dengan melantik ejen yang mencukupi di setiap tempat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.