Categories
SELANGOR

Solat tahajud & belajar malam rahsia kejayaan pelajar cemerlang

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 28 JAN: Amalan Solat Tahajud dan sering mengulang ayat bacaan sehingga 60 kali merupakan resepi pelajar cemerlang Sijil Menengah Agama Tahfiz Al Quran (SMATQ) 2014, Syamimi Nazihah Naseruddin.

Bercita-cita mahu bergelar guru seperti kedua orang tuanya, Syamimi, 17, berkata kedua-dua amalan itu banyak membantunya untuk memperoleh keputusan 11 A.

Shamimie“Itu adalah cara saya untuk mengulang kaji pelajaran dan petua untuk menajamkan minda seperti mana yang dianjurkan Islam.

“Terima kasih juga kepada guru-guru, ibu bapa, keluarga serta rakan-rakan yang banyak membantu memberi semangat untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya selepas menerima anugerah pelajar cemerlang keseluruhan bagi kategori SMATQ.

Pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi, Kampung Jawa ini memperoleh pencapaian 96 peratus dalam peperiksaan SMATQ 2014.

Anugerah disampaikan Exco Agama Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi di Dewan Maahad Integrasi Tahfiz Sains, di sini.

FareezSementara itu, kategori Sijil Menengah Agama (SMA) pula diterima pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin, Ahmad Fareez Abdul Wahab, 17.

“Saya terkejut dengan keputusan ini kerana keputusan percubaan sebelum ini hanya berjaya memperoleh pencapaian 96 peratus sahaja berbanding keputusan sebenar 99 peratus.

“Usaha belajar dikala malam sunyi dan tidur hanya empat atau lima jam sehari nyata berbaloi untuk saya,” kata anak bongsu daripada enam beradik ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.