Categories
SELANGOR

Syabas diarah pantau masalah kebocoran paip

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LANGAT, 22 JAN : Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) diarahkan supaya mengenal pasti masalah kebocoran paip agihan dari Loji Rawatan Air Semenyih untuk memastikan krisis gangguan bekalan air tidak terus meruncing di daerah Kuala Langat.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata Kerajaan Negeri sentiasa menjalankan pemantauan dari masa ke masa berhubung masalah gangguan air yang membelenggu penduduk di kawasan itu sejak dua minggu lalu.

syabassKatanya Jawatankuasa Pemantauan Air yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi juga sudah bermesyuarat bagi membincangkan masalah berkenaan dan turut mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“Dato’ Menteri Besar apabila mendengar laporan ini terus turun ke Teluk Panglima Garang untuk melihat semula keadaan yang berlaku kerana mengetahui bahawa masalah air ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian.

“Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses menyelesaikan penstrukturan semula air, jadi kita yakin antara semua jabatan air dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada Selangor Kini.

Dalam pada itu, Zaidy turut memaklumkan satu agenda khas membabitkan bekalan air akan dibincangkan bersama Exco pada 6 Februari depan.

Beberapa kawasan di daerah Kuala Langat dilaporkan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah hampir dua minggu lalu.

Keadaan itu berlaku berikutan penurunan paras air di Kolam Air Bukit Lipat Kajang, Wilayah Klang.

Ekoran itu, sebanyak 5,890 rumah dikenalpasti mengalami masalah gangguan berkenaan.

Antara kawasan yang dikenal pasti terlibat adalah Batu 7 dan 8 Sijangkang, Batu 9 Kampung Medan, Taman Desa Sijangkang, Taman Riveria Perdana, Taman Permai Sijangkang dan Taman Sijangkang Indah.

Kawasan lain adalah di Taman Medan Indah, Taman Perwira, Taman Sijangkang Jaya dan Taman Seri Medan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.