Categories
SELANGOR

Selangor bantu 139 penghuni Bukit Botak mohon pinjaman rumah

Oleh: AFEEQA AFEERA

SELAYANG, 25 FEB: Seramai 139 penghuni asal di Taman Selayang Mutiara (Bukit Botak), dekat sini, dibantu membuat permohonan pinjaman di institusi kewangan terpilih bagi menyelesaikan urusan pembelian rumah di kawasan itu yang tertangguh hampir lima tahun.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, bantuan itu dikhususkan kepada penghuni yang tidak berkemampuan untuk membuat pinjaman bank disebabkan faktor usia selain berpendapatan rendah.

Katanya, bantuan bersifat istimewa itu dipersetujui berdasarkan hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Maybank.

bukit botak rumah asri 01“Hasrat saya adalah supaya semua pihak yang ditawarkan rumah ini tidak mempunyai masalah mendapatkan pinjaman bank selepas kita adakan perbincangan bersama PKNS dan Maybank.

“Bantuan yang ditawarkan adalah istimewa kerana PKNS akan bertindak menjadi penjamin kepada pinjaman yang dibuat, cuma yang penting kita minta sangat supaya penduduk membayar ansuran seperti yang dipersetujui dalam perjanjian.

“Kalau tidak mampu bayar, PKNS akan ambil semula dan selesaikan hutang dengan pihak bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran dan Penyerahan Dokumen Tawaran Pinjaman Perumahan Taman Selayang Mutiara, di sini malam tadi.

Zaidy yang juga Adun Taman Templer berkata, proses permohonan pinjaman itu akan dilaksanakan secara berperingkat di Maybank Seksyen 14, Shah Alam, pada 17 dan 18 Mac ini.

Zaidy Abd TalibKatanya, program itu juga terbuka kepada penghuni yang sudah mendapat tawaran perumahan di Taman Selayang Mutiara, namun berdepan masalah tamat tempoh sah laku pembelian.

“Tidak ramai yang dapat bantuan pinjaman bagi memiliki rumah berkenaan sehingga Kerajaan Negeri berbincang dengan Maybank supaya 139 penghuni ini mendapat pinjaman 100 peratus daripada pihak bank.

“Saya akan pastikan mereka ini dibantu cuma peminjam kena bayar balik kerana kita tidak mahu isu arahan pindah keluar berlaku kelak,” katanya.

Sehingga kini, 971 pemilik sudah menerima kunci kediaman masing-masing, sementara 179 lagi masih menunggu proses pinjaman selesai sepenuhnya.

Penduduk yang akan menerima bantuan pinjaman terbabit perlu melunaskan kira-kira RM500 sebulan kepada pihak bank.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.