Categories
SELANGOR

Selangor ulangi kejayaan, 100% lulus UPKK & UPSR

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 FEB: Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Rendah Agama Integrasi seluruh Selangor sekali lagi mencatat kelulusan 100 peratus bagi tahun 2014.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya kini berbincang lanjut dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membenarkan pengambilan UPKK di Sekolah Rendah Agama (SRA) juga atas pencapaian cemerlang itu.

upsr-1“Kita jangkakan hujung tahun ini dapat dilaksanakan di SRA atau mungkin bermula tahun hadapan.

“Sukatan pelajaran tidak berbeza kerana ajaran Islam itu satu sahaja,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan UPKK dan UPSR 2014 peringkat Selangor, di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jais, Mohamad Amir Danuri dan Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jakim, Tarmizi Ahmad.

Lebih 17,000 calon UPKK di tahun lima sekolah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) mencatatkan kelulusan penuh dalam lapan mata pelajaran seperti amali solat, bidang Al- Quran dan ulum syariah.

Murid Kafa Selangor berpeluang menduduki dua peperiksaan iaitu UPKK di tahun lima dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di tahun enam.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.