Categories
NASIONAL

Tian Chua: Tuan Guru Nik Aziz antara perancang penubuhan PKR

Oleh NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 FEB: Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antara dua individu penting dari PAS di sebalik rancangan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata Allahyarham dan Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Datuk Fadhil Noor berusaha keras menyakinkan aktivis untuk menubuhkan parti berbilang kaum.

Katanya, mereka mencadangkan platform baru itu bagi melawan Umno BN ketika kebanyakan aktivis masih dilema untuk bergerak dalam politik kepartian atau sebaliknya.

“Saya sendiri ketika itu tidak yakin tetapi mereka kata kalau tidak, sukar mengalahkan Umno dan kami perlukan awak dan bukan Melayu untuk tubuh parti pelbagai kaum.

“Mereka terfikir, sudah sampai masa untuk menukar ‘game’. Perlu sokongan bukan Melayu untuk buka buku baru dan memenuhi aspirasi untuk melihat rakyat Malaysia sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum ‘Anwar Dipenjara: Masa Depan Politik Malaysia’ di pejabat baharu MalaysiaKini di sini, malam tadi.

Tian Chua mengakui formasi PKR bukan idea Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya berpesan menggunakan logo PAS, PRM atau DAP pada pilihan raya sebelum kembali berdemontrasi.

Malah, katanya, idea penubuhan parti berbilang kaum selepas Anwar dipenjara dianggap beberapa rakan dan penyokong kuat Anwar, sebagai idea gila tetapi dipersetujui Ketua Pembangkang itu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.