Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan Perasmian Pesta Buku Selangor 2015 oleh Nik Nazmi

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.

Saudara Pengacara Majlis;

Yang Berhormat Puan Dr Hajah Halimah Ali
Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang
Merangkap:
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor;

Puan Mastura Haji Muhamad
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor;

Exco-Exco;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Perpustakaan Awam Selangor;
Ketua-ketua jabatan; Wartawan dan media; Para jemputan, tuan-tuan dan
puan-puan yang dihormati sekalian.

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin danlimpah rahmat-Nya kita dapat bersama-sama berkumpul di majlis yang
sungguh bermakna di Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2015.

Hari ini merupakan satu penghormatan kepada saya untuk bersama-sama warga perpustakaan yang berdedikasi dan bersemangat tinggi dalam
tanggungjawab masing-masing, yang mana dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang lain, penganjuran Pesta Buku Selangor
dilaksanakan dengan lancar sejak tahun 2006.

Tahniah dan syabas saya ucapkan atas kejayaan penganjuran pesta buku untuk kali yang kesepuluh
ini. Saya yakin Pesta Buku Selangor yang saban tahun dijalankan oleh PPAS dan Kerajaan Negeri Selangor akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh
masyarakat bukan sahaja di dalam negeri ini, malah negeri-negeri di sekitar Selangor.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

pestabuku6Mana-mana kerajaan yang berdiri pada hari ini bertanggungjawab sebagai penerus legasi kepimpinan yang adil, berintegriti, berjati diri, dan
prihatin. Bagi Kerajaan Negeri Selangor, berpandukan agama dan prinsip kepimpinan, inilah perjalanan yang kita teruskan.
Kita mesti sentiasa terus efektif, progresif, dan produktif.

Jentera dan kakitangan kerajaan hendaklah tidak kurang produktif sama ada sebelum ataupun sesudah apa-apa malapetaka dan bencana alam. Minda dan
pemikiran kita hendaklah sentiasa kreatif dan inovatif, kerana perkhidmatan yang cekap dan amanah sentiasa diperlukan untuk menambah
nilai kehidupan masyarakat. Mengambil pengajaran daripada bencana banjir yang melanda penduduk Pantai Timur, bermula hari ini, marilah
kita sama-sama bangkit untuk mendirikan semula sebuah negeri.

Di mana-mana sahaja kita lihat, begitu banyak kerja dan tugasan yang perlu dilakukan. Situasi ekonomi semasa memerlukan tindakan yang
berani dan pantas, dan kita akan sama-sama bertindak – bukan sahaja untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu, tetapi untuk membina sebuah
asas yang kukuh untuk pembangunan.

Semua ini kita boleh lakukan. Dan semua ini insya Allah kita akan laksanakan.

Hadirin sekalian,

Membaca adalah amalan yang penting. Tidak ada peradaban yang bangkit tanpa membudayakan ilmu dan pembacaan. Meskipun medium kini semakin
berubah, amalan pembacaan kekal penting, bukan sekadar menyebarkan maklumat tetapi ilmu yang berteraskan hikmah atau wisdom.

Justeru saya menyeru ibu bapa untuk mengamalkan budaya membaca bermula di rumah. Sebagai bapa muda dengan anak yang kecil, saya tahu lebih
mudah meninggalkan anak di rumah dengan gadget terkini tetapi ibu bapa mestilah menanam amalan ini dari awal.

Di sini peranan perpustakaan adalah amat penting.

Bagaimanakah sebuah perpustakaan boleh memainkan peranan dalam pembangunan sebuah negeri?

Perpustakaan pada hari ini bukanlah sekadar sebuah bangunan yang menguruskan buku dan data semata-mata. Perpustakaan adalah ibarat
jendela kepada dunia yang lebih luas; tempat di mana komuniti berkumpul untuk mencambahkan idea hebat dan konsep baharu.
Perpustakaan mempunyai peranan yang lebih mencabar apabila Internet menjadi pencetus revolusi pencarian maklumat. Gelombang revolusi ini
sudah tentunya menuntut perpustakaan agar melakukan perubahan segera supaya kekal relevan sebagai institusi maklumat untuk masyarakat.

Perpustakaan awam, sesuai dengan kedudukannya yang neutral dalam memberi khidmat kepada semua lapisan masyarakat, adalah sebuah
institusi paling strategik untuk mendidik dan membangunkan modal insan. Posisi unik perpustakaan awam ini juga tidak dinafikan telah
lama berada dekat di hati masyarakat. Perpustakaan awam memberikan khidmat terbaik tidak mengira umur, kaum, latar belakang agama,
pendidikan, dan julat pendapatan.

Maka tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa perpustakaan awam juga berperanan sebagai prevention center. Ini kerana perpustakaan mampu
mendidik hati dan jiwa masyarakat melalui suasana persekitarannya yang kondusif, layanan kakitangan yang mesra dan prihatin, koleksi buku dan
bahan bermaklumat yang memperkaya minda, serta prasarana dan kemudahan yang selesa, bersih dan terkini untuk menambah nilai kehidupan.

Tahniah kepada PPAS yang mana telah mendapat pengiktirafan antarabangsa di atas infrastruktur yang inovatif dan penjenamaan yang
kreatif bukan sahaja di Perpustakaan Raja Tun Uda malah perpustakaan-perpustakaan seluruh negeri Selangor.

Oleh sebab itu juga, baru-baru ini Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin bin Ali, menguar-uarkan program
penterjemahan karya antarabangsa yang bakal dikawalselia oleh PPAS.

Ini sudah tentunya kerana beliau percaya bahawa perpustakaan berupaya memastikan hanya buku-buku berkualiti yang akan diterjemah
kandungannya ke Bahasa Melayu. Gerakan penterjemahan ini adalah strategi membudayakan ilmu sebagaimana yang diperlihatkan melalui
tamadun Islam di Tanah Arab (The Baghdad Enlightenment) pada kurun ke-10, budaya Renaissance di Barat bermula kurun ke-16 dan kebangkitan
Meiji di Jepun pada kurun ke-19.

Justeru, amatlah malang sekali ketika budu, cencalok dan lobster dikecualikan dari GST, buku tidak dikecualikan sepenuhnya dari cukai
baru ini! Persatuan Penerbit Buku Malaysia telah menyuarakan kebimbangan tentang hal ini. Syabas saya ucapkan kepada Dubook Press
yang memberi komitmen mencari jalan tidak mengenakan GST terhadap buku-buku mereka.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah atas penganjuran Pesta Buku Selangor
melalui sinergi kolaboratif di antara:

• Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor,
• Kerajaan Negeri Selangor,
• Majlis Bandaraya Shah Alam,
• Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,
• Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor,
• Selangor Kini dan TV Selangor,
• Jabatan Perpaduan,
• Tourism Selangor,
• Tourism Malaysia Selangor,
• Yayasan Selangor,
• Jabatan Agama Islam Selangor,
• Persatuan Taska Negeri Selangor,
• Majlis Permuafakatan Tadika Selangor,
• Pihak Berkuasa Tempatan, dan
• Pusat Komuniti Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Tidak ketinggalan juga terima kasih yang tidak terhingga kepada para pempamer, syarikat-syarikat penerbit tempatan, wartawan dan media, dan
agensi swasta seperti Kumpulan Media Karangkraf, Telesign Communications, dan Nasyeed.com, yang menerusi kolaborasi inovatif
mereka, Pesta Buku Selangor 2015 berjaya direalisasikan.

Alhamdulillah Shah Alam pada masa yang sama menyaksikan dua acara ilmu gergasi – Pesta Buku Selangor yang merupakan sebahagian daripada
Temasya Selangor 2015 dan Karnival Karangkraf. Ini menunjukkan masyarakat menghargai program-program seperti ini.

Besar harapan saya, penyertaan penulis antarabangsa Leila Chudori dari Indonesia membuka ruang agar tahun hadapan kita dapat mengangkat
martabat acara ini menjadi Pesta Buku Antarabangsa Selangor. Malah, kita sewajarnya meletakkan pesta buku terbesar dunia kelolaan
sejarahwan William Dalrymple, Jaipur Literary Festival sebagai tauladan.

Dan untuk itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Pesta Buku Selangor 2015.

Sekian, wassalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.