Categories
SELANGOR

Air: Pusat tuntut tanah, Kerajaan Negeri takkan gadai kedaulatan Selangor

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mendedahkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mahu mengambilalih tanah yang menempatkan paip air sepanjang 26,000 kilometer dan dimasukkan sebagai aset dalam perjanjian konsesi air.

Perkara itu dimaklumkan Mohamed Azmin ketika sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam sidang media selepas itu, Mohamed Azmin menegaskan, Kerajaan Negeri tidak akan menyerahkan tanah berjumlah 26,000km itu.

ISU AIR SELANGOR BARUKatanya, Kerajaan Negeri hanya bersetuju untuk menyerahkan aset air yang sudah dinaiktaraf syarikat konsesi sahaja dan tidak akan menggadaikan kedaulatan tanah Selangor

“Antara perkara utama yang dilanggari Kerajaan Persekutuan adalah untuk menyemak semula perjanjian yang termeterai dalam perjanjian utama iaitu Kerajaan Negeri sudah bersetuju menyerahkan aset air milik syarikat konsesi yang dinaiktaraf.

“Tetapi dalam tempoh dua tiga bulan lalu, Kerajaan Persekutuan mendesak bukan sahaja aset yang sudah dinaiktaraf tetapi jajaran tanah yang dilalui aset itu mesti diserahkan sekali.

“Apakah rakyat dan pengguna Negeri Selangor bersetuju menyerahkan 26,000 km tanah itu?” soalnya dalam sidang media berkenaan, di Lobi Parlimen.

Mohamed Azmin berkata, setiap sen pembayaran yang diterima daripada pengguna akan dibayar terus kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) melalui mekanisme ‘Ring Fencing’ seperti yang dipersetujui dalam perjanjian utama sebagai jaminan.

azminBeliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, Kerajaan Negeri mempunyai RM14.9 billion aset air tanpa mengambilkira nilai tanah.

“Mana ada syarikat konsesi yang diberikan hak milik tanah. Syarikat konsesi mungkin diberikan tempoh selama 20 hingga 30 tahun dan akhirnya diserahkan kepada Kerajaan Negeri kerana tanah itu milik negeri.

“Mengapa sekarang tanah itu diminta menjadi milik PAAB? Ia tidak pernah berlaku dan kita melihat tindakan Kerajaan Persekutuan ini untuk menggagalkan penstrukturan air,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan enggan mengeluarkan Lesen Kemudahan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebagai pengiktirafan pemilikan ke atas semua baki aset air yang dimiliki pengurusan itu.

“Kerajaan Persekutuan tidak mahu meluluskan pemeteraian Perjanjian Kemudahan dan Sewaan di antara PAAB juga Air Selangor bagi penyewaan aset air yang akan dipindahkan kepada PAAB.

“Mereka juga enggan mengiktiraf pemilikan aset air Selangor berjumlah RM14.9 bilion yang bakal disuntik ke dalam Air Selangor.

“Kerajaan Persekutuan juga enggan mengiktiraf dan menerima pemindahan RM2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada pengurusan itu bagi mengambilalih semua konsesi air di negeri ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.