Categories
NASIONAL

Hudud: Pakatan Rakyat pegang prinsip muafakat

Oleh : AFEEQA AFEERA

GOMBAK, 21 MAC : Pakatan Rakyat (PR) terus berpegang kepada prinsip bersama yang menjadi kekuatan gagasan itu sejak ia dibentuk pada 2008, meskipun wujud perbezaan pendapat antara parti komponen di dalamnya.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata isu sensitif seperti pelaksanaan hudud yang menjadi perhatian media sejak kebelakangan ini sudah dibincangkan di peringkat tertinggi PR untuk memastikan perkara yang berbangkit dapat diselesaikan secara muafakat.

PAKATAN RAKYAT“Kekuatan PR sejak dibentuk 2008 adalah berasaskan kepada dasar bersama soal ekonomi, pendidikan, keselamatan dan atas permuafakatan inilah PR dibina dan terus mencatat kejayaan.

“Jadi saya berharap sekali semua pihak iaitu PKR, DAP dan PAS harus berpegang kepada prinsip permuafakatan ini.

“Memang kita ada perbezaan pendapat dalam beberapa isu, tetapi saya tidak mahu perbezaan pendapat ini boleh memecah belahkan perpaduan PR kerana teras PR adalah isu yang memberikan kepentingan rakyat di negara ini dan ia perlu dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Notis 5A di Kompleks Muhibbah, Batu Caves, dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai hasrat DAP untuk meninggalkan PR sekiranya hudud tetap dilaksanakan, Mohamed Azmin berkata perkara itu tidak timbul memandangkan tiada sebarang keputusan dibuat berkaitan isu terbabit.

Katanya beliau percaya semangat PR yang sering berbincang dalam Majlis Presiden dan Majlis Sekretariat berupaya mencari jalan penyelesaian.

“Saya percaya atas semangat ini banyak isu yang sensitif berjaya diselesaikan dengan permuafakatan.

“Bukan cabar mencabar dalam media,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.