Categories
SELANGOR

MB: Lebuhraya DASH lulus jika penduduk setuju

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 MAC: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan membentangkan jajaran baru pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) dalam masa terdekat kepada penduduk di sekitar Petaling Jaya-Damansara Perdana yang mendapat bantahan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata sekiranya penjajaran semula yang diubahsuai LLM itu mendapat persetujuan daripada penduduk setempat, maka Kerajaan Negeri akan meluluskan pembinaan lebuh raya berkenaan.

DASH“Jika penduduk setuju baru Kerajaan Negeri akan sokong pelarasan terakhir, tetapi kalau LLM tidak mahu mendengar (bantahan) rakyat, kita tiada pilihan selain batalkan projek itu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Rumah Selangorku di Bandar Rimbayu, dekat sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata penduduk membantah bahagian terakhir pelarasan jajaran lebuh raya itu ekoran ia didakwa terlalu dekat dengan kawasan penduduk yang padat serta mengancam nyawa dan rumah berdekatan.

Katanya LLM digesa untuk kembali kepada masyarakat bagi menerangkan segala aspek berkaitan jajaran baru itu sebelum dibentangkan kepada Kerajaan Negeri.

“LLM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu kembali kepada Kerajaan Negeri untuk serahkan proposal dan lakaran baru lebuh raya itu.

“Menurut LLM mereka akan tengok perkara ini dan sudah hampir siap dengan lakaran akhir,” katanya lagi.

Terdahulu, penduduk di sekitar Petaling Jaya-Damansara Perdana menuntut Mohamed Azmin membuat pendirian tegas terhadap projek Lebuh Raya Dash selepas Kerajaan Negeri memutuskan untuk membatalkan projek lebuh raya bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex).

Ia berikutan syarikat pemaju Dash iaitu Prolintas sehingga kini masih tidak memenuhi syarat ditetapkan Kerajaan Negeri, termasuk mengadakan rundingan dengan penduduk walaupun projek itu diluluskan Putrajaya pada 25 Januari lalu.

Gambar: The Malaysian Insider

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.