Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba ambil langkah lepaskan gas ammonia ke udara

JASIN, 4 SEPT: Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengambil tindakan melepaskan gas ammonia yang terperangkap dalam saluran paip secara berperingkat di sebuah kilang memproses ayam di Merlimau, malam tadi.

Exco Perumahan Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew berkata, kerja pelepasan itu dilakukan pada 10 malam dan dijangka mengambil masa selama 10 jam.

“Kadar bacaan bahan kimia itu menunjukkan penurunan daripada 500 ppm (bahagian setiap juta) kepada kira- kira 30 ppm hanya dalam 45 minit,” katanya dalam sidang media, di sini.

Beliau berkata, pasukan bomba juga akan melakukan pemeriksaan berkala setiap dua jam dengan mengukur bacaan kandungan gas di kawasan pada radius kira-kira tiga kilometer dari kawasan kilang.

Katanya, jika bacaan yang diperoleh menunjukkan berlaku pencemaran udara, maka pelepasan gas itu akan dihentikan.

Kok Kiew berkata, sehingga 11.30 malam tadi, hanya 11 mangsa yang masih dirawat di Hospital Melaka berbanding 26 orang, pada siang tadi.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak cemas kerana keadaan terkawal dan mendapatkan berita daripada sumber yang sahih.

Sementara itu, Pegawai Daerah Jasin Datuk Anis Ali Hasan berkata, sebagai langkah awal, dua pusat pemindahan sementara dibuka masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di Jasin dan SMK Ayer Molek, Melaka Tengah pada 9.45 malam tadi.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kilang simpan 1.5 tan tong gas ammonia sedang disiasat-EXCO

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 13 JULAI: Kerajaan Selangor mengesahkan sebuah kilang di Pulau Indah yang didakwa menyimpan kira-kira 1.5 tan tong gas ammonia sedang dalam siasatan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, siasatan itu dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan ekoran kilang terbabit menyimpan tong gas ammonia dalam jumlah yang banyak.

“Kita tidak tahu kenapa kilang itu menyimpan tong gas ammonia dalam jumlah yang banyak, adakah hanya untuk simpanan sendiri ataupun dibekalkan kepada kilang lain.

“Kerajaan Negeri sangat memandang serius isu ini kerana pernah berlaku kejadian gas ammonia bocor di Klang tidak lama dulu sehingga menyebabkan seorang pekerja kilang mati dan pelajar sekolah muntah,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan penemuan 1.5 tan tong gas ammonia selepas kejadian kebakaran yang membabitkan tiga kilang di Pulau Indah, pada 5 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, pihaknya merancang untuk memanggil semua Pihak Berkuasa Tempatan bagi mengenal pasti kilang yang menyimpan gas ammonia.

“Kita akan lihat berapa banyak kilang yang simpan gas ammonia dan membuat keputusan sama ada akan memindahkan kilang berkenaan jika dekat dengan penduduk.

“Ini kerana Kerajaan Negeri tidak mahu penduduk atau murid-murid sekali lagi menjadi mangsa,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

“Cuma fikir mati” luah anggota bomba

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 12 JUL: Anggota Bomba yang tercedera berkongsi detik cemasnya ketika bertugas memadamkan kebakaran membabitkan tiga kilang di Pulau Indah, pada 5 Julai lalu.

Muhammad Ridzuan Kamaruzaman, 28, berkata, beliau bukan sahaja terjatuh dan topi keledar tercabut malah, percikan api dari tiga letupan di kilang itu menyebabkan belakang telinganya cedera.

“Saya bersama tiga rakannya ditugaskan di zon merah iaitu barisan paling hadapan untuk masuk ke premis bagi memadamkan kebakaran dengan menggunakan hos air.

“(Ketika itu) cuma fikir mati. Tiada fikir lain. Saya terbayangkan wajah isteri dan anak saya yang baru berusia enam bulan,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba Pelabuhan Klang, semalam.

Beliau yang merupakan anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menyifatkan kejadian itu adalah pengalaman kedua terburuk sepanjang bertugas sehingga meninggalkan kesan dalam hidupnya.

“Apabila letupan pertama terjadi, kami masih berada di dalam kilang. Ketika itu puluhan tong racun serangga sudah mula jatuh ke bawah. Apabila letupan kedua berlaku, saya jatuh dan masa itu saya sudah rasa pedih dibahagian telinga.

“Selepas itu, saya merangkak mencari tempat berlindung disebalik tembok dinding kilang bersama tiga lagi anggota, disebabkan itu saya hampir muntah dan pitam.

“Alhamdulillah, saya dipapah keluar oleh komander operasi untuk mendapatkan bantuan di van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba (EMRS),” katanya.

Ridzuan juga masih belum memberitahu keluarganya di kampung halaman tentang kejadian itu kerana enggan mereka risau serta menganggap ia menjadi sebahagian daripada anggota bomba.

Sementara itu, Mohd Shahrul Azuan Salleh, 33, berkata, beliau ditugaskan untuk berada dihadapan dan menjadi ‘nozzleman’ untuk memadam kebakaran itu.

Bagaimanapun, letupan berlaku sebelum beliau sempat menukar nozzle lain kerana mendapati ia longgar dan tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Saya merangkak keluar ke hadapan kilang. Alhamdulillah selamat cuma telinga saya rasa berdegung mungkin letupan ketiga itu terlalu kuat. Selepas letupan itulah, kami baru sedar yang kilang bersebelahan itu menyimpan gas ammnonia yang banyak,” katanya.

Kedua-dua anggota bomba itu antara tujuh anggota bomba yang cedera ketika memadamkan kebakaran di tiga kilang, termasuk sebuah kilang racun rumpai, di Pulau Indah.

Dalam insiden sama, seorang lagi anggota terjatuh ketika mengalihkan hos iaitu Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Mohd Faizzuan Ayob yang mengalami kecederaan di kaki.

Lima lagi anggota lain, Mohammad Hazreen Mazlan; Mohammed Wahyuddin Mohd Saibani; Mohammad Izwan Salleh; Ahmad Ridzwan Awang dan Mohd Shahrul Azuan Salleh.

Sebuah kilang terbakar 100 peratus manakala dua buah lagi masing-masing terbakar kira-kira 50 peratus.

 

 

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri arah kilang punca pencemaran ammonia dipindahkan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri sudah mengarahkan pengusaha Kilang Ais Everest Aisvaram Sdn Bhd yang menyebabkan pencemaran gas ammonia dipindahkan ke kawasan perindustrian dengan segera.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, ia susulan lapan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan muntah ekoran pencemaran itu, Ogos lalu.

Katanya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Tanah Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan dan Jabatan Kimia Malaysia akan memantau dan memastikan operasi pemindahan gas ammnonia dapat dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pihak MBSA menjalankan siasatan ke atas kilang itu dan hasil siasatan mendapati terdapat masalah kebocoran gas ammonia pada mesin yang digunakan di dalam kilang itu.

“Selain itu, kilang itu juga tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah. Oleh itu, MBSA mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Terdahulu, kilang terbabit diarahkan mengalihkan mesin tangki ammonia dengan kadar segera dan pemindahan operasi kilang dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan.

Categories
NASIONAL

160,000 akaun pengguna terjejas pencemaran ammonia di Sungai Johor

JOHOR 29 OKT: Pencemaran ammonia di Sungai Johor dekat Kota Tinggi didapati berpunca daripada kilang memproses najis ayam berhampiran sungai berkenaan hingga menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Semangar terpaksa dihentikan.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata pencemaran itu telah menjejaskan 160,000 akaun pengguna LRA Semangar yang tinggal di kawasan Kulai, Senai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Skudai, Kempas, Taman Sri Austin dan Kangkar Pulai.

Beliau berkata ini merupakan pencemaran ammonia kali ketiga dan siasatan Syarikat Air Johor (SAJ) mendapati ia berpunca daripada pihak sama yang terbabit dalam kejadian pencemaran sebelum ini.

Menurutnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini tidak menyokong kelulusan Penilaian Awal Tapak (PAT) bagi meneruskan kilang berkenaan di kawasan itu namun pihak Pejabat Tanah tempatan dan Jabatan Veterinar tidak mengambil tindakan tegas berhubung isu itu.

“Saya telah memberikan peringatan sebelum ini bahawa Sungai Johor membabitkan LRA Semangar dan LRA Sungai Johor. Tindakan tegas perlu diambil kerana ia melibatkan air dan kepentingan orang ramai,” katanya kepada pemberita pada majlis Graduasi Johor Talent 3 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di Johor Bharu, hari ini.

‘Kilang itu mesti ditutup’

Sehubungan itu, Ayub berkata kilang memproses najis ayam itu perlu ditutup serta-merta bagi memastikan insiden sama tidak terus berulang dan menyebabkan kesukaran kepada ramai pengguna di kawasan yang terlibat.

“Tindakan tegas perlu diambil, kilang itu mesti tutup jika tidak masalah sama akan berulang dan kita akan terus adakan mesyuarat.

“Pihak JAS tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menutup (kilang itu) tapi kita dah rujuk perkara ini kepada Jabatan Veterinar dan Pejabat Tanah. Mereka yang patut ambil tindakan segera,” tegasnya.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan berkaitan isu berkenaan yang akan dipengerusikan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) bersama agensi terlibat termasuk SAJ, JAS, Pejabat Tanah dan Jabatan Veterinar.

SAJ dalam kenyataannya memberitahu penutupan LRA Semangar susulan penemuan ammonia di Sungai Johor yang menjejaskan kira-kira 160,000 akaun sekitar kawasan Senai, Pulai dan Skudai.

Bacaan ammonia yang dikesan mencapai tahap 2.75 ppm berbanding bacaan 1.5 ppm yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Pencemaran ammonia ganggu operasi LRA Bukit Tampoi

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 MAC: Tindakan segera terus diambil ekoran pemberhentian operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi akibat pencemaran Ammonia di dalam Sungai Langat, bermula jam 2 petang, semalam.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri antara lain membuat pelepasan air Empangan Langat sebanyak 250 juta liter sehari (JLH).

loji air“Tindakan ini untuk meningkatkan kadar alir dan faktor pencairan (dilution factor) di dalam Sungai Langat.

“Kita juga membuat pelepasan air ‘ingres’ terowong penyaluran air mentah daripada Pahang sebanyak 35 JLH,” katanya dalam satu kenyataan,lewat malam tadi.

Selain itu, Zaidy berkata, pihak Indah Water Konsortium (IWK) diarah memantau semua loji rawatan kumbahan (STP) di bawah kawal selia mereka untuk merendahkan pelepasan Ammonia.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) juga dihubungi untuk melakukan semakan terhadap STP persendirian.

Langkah lain termasuk pemasangan pam untuk operasi pengepaman air Sungai Langat ke dalam Kolam Bukit Tampoi dan seterusnya ke muka sauk akan dilaksanakan dengan kadar segera.

Zaidy“Semua pihak yang terlibat sedang bertungkus-lumus memastikan keadaan ini dan bekalan air ke sekitar kawasan Kuala Langat kembali pulih.

“Kerajaan Negeri amat kesal di atas insiden yang berlaku dan menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama dalam usaha menangani isu ini secara bersepadu,” katanya.

Semalam, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menerima maklumat daripada Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) berkenaan peningkatan parameter Ammonia dalam Sungai Langat.

Sehubungan itu, LRA Bukit Tampoi mengurangkan jumlah pengepaman air mentah kepada 18 JLH daripada 37 JLH dan seterusnya menghentikan operasi loji pada jam 2 petang apabila bacaan Ammonia mencecah sehingga 4.2 ppm.

-NFN-