Categories
SELANGOR

Audit: LPHS berjaya jual 20,062 rumah kos rendah, prestasi baik dapat pujian

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 APRIL: Prestasi pengendalian pengurusan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) yang dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) mendapat pujian Jabatan Audit Negara.

Ini kerana pengauditan dijalankan pada bulan Ogos hingga Oktober 2014 mendapati secara keseluruhannya prestasi pengurusan PAKR adalah baik kerana sambutan menggalakkan daripada rakyat menyaksikan sebanyak 20,062 (99.4 peratus) daripada 20,178 unit rumah dibina berjaya dijual.

LKAN Selangor1Kerajaan Selangor mula melancarkan PAKR pada 1980 untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah di Selangor dengan pembiayaan sepenuhnya Kerajaan Negeri melalui pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan sejumlah RM185.99 juta.

PAKR terbahagi kepada dua skim iaitu 174 Skim Lama (1980-1996) yang berteraskan konsep pembiayaan melalui sewa beli dengan Kerajaan Negeri manakala tujuh Skim Baru (1996-2003) berkonsepkan pembiayaan sewa beli melalui Institusi Perbankan.

Setakat bulan Oktober 2014, sebanyak 20,178 unit rumah di sembilan buah daerahSelangor dibina melalui Jabatan KerjaRaya (JKR) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Berdasarkan 41 permohonan yang disemak, Audit merumuskan matlamat pembinaan PAKR di Selangor bagi membantu menyediakan perumahan rakyat kepada golongan sasaran yang layak dan memenuhi kriteria/syarat yang ditetapkan adalah tercapai.

“Setakat bulan Oktober 2014, LPHS mempunyai sebanyak 2,887 (15.5 peratus) daripada 18,641 akaun pembeli di bawah Skim Lama yang masih aktif untuk tuntutan ansuran sewa beli.

“Manakala bagi Skim Baru, tiada sebarang akaun aktif untuk tuntutan sewa beli ansuran memandangkan pemohon membuat bayaran ansuran dengan pihak Institusi Perbankan. Bagaimanapun, sebanyak 116 unit rumah di bawah Skim Baru masih belum dijual,” katanya menerusi Laporan Audit Negeri Selangor.

Pada 2003, LPHS dilantik untuk menguruskan semua perkara berkaitan dengan PAKR. Sebelum itu, pengurusan sepenuhnya dikendalikan Bahagian Perumahan, Seksyen Pembangunan Sosial, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT).

Antara tugas dan peranan bahagian ini adalah menjadi ejen mengutip baki ansuran sewa beli PAKR untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk anuiti berjumlah RM10.63 juta selama 25 tahun.

Mereka juga perlu mempromosi dan memasarkan unit PAKR tidak terjual kepada golongan yang layak selain menyenggara PAKR yang tidak terjual apabila adanya pembeli dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik PAKR yang tidak membayar ansuran sewa beli.

Jelas Laporan Audit, terdapat kelemahan baki bayaran balik ansuran PAKR yang perlu dibayar LPHS kepada Bendahari Selangor berjumlah RM44.62 juta, berbanding dengan baki yang dituntut oleh Bendahari Negeri berjumlah RM57.96 juta.

Katanya, perbezaan berjumlah RM13.34 juta perlu diselaraskan.

“Antara kelemahan lain yang ditemui adalah prestasi kutipan ansuran sewa beli rumah masih boleh dipertingkatkan kerana trend tidak konsisten ditunjukkan pada 2009 hingga bulan Oktober 2014 iaitu pada kadar antara 60 peratus hingga 93.9 peratus berbanding tahun sebelum.

“Hal ini berlaku kerana perjanjian sewa beli yang dimeterai tidak menjaga kepentingan Kerajaan Negeri sepenuhnya apabila terdapat klausa yang lemah dan longgar,” jelasnya.

“Manakala pengurusan hak milik rumah belum diselesaikan bagi 95 rumah di bawah Skim Lama yang tiada hak milik dan2,268 hak milik rumah tidak dimasukkan urus niaga gadaianoleh Kerajaan Negeri.

“Bagi Skim Baru pula, sebanyak 475 rumah tiada hak milik dan 23 hak milik rumah bertindih,” jelasnya lagi.

Bagi menyelesaikan kelemahan ini Audit mengesyorkan LPHS memantapkan rundingan kerjasama yang lebih erat dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu menyelesaikan masalah ansuran bulanan tertunggak.

LPHS juga perlu memperkasakan kaedah promosi yang lebih berkesan dan menyeluruh bagi menjual baki rumah yang tidak terjual.

“LPHS dan Kerajaan Negeri perlu mencari jalan penyelesaian terbaik menguntungkan bagi menentukan amaun sebenar baki ansuran PAKR yang perlu dibayar LPHS setiap tahun kepada Kerajaan Negeri dengan mengambil kira kos pengurusan ditanggung LPHS semasa menguruskan PAKR.

“Kerajaan Negeri juga perlu memberikan insentif kepada LPHS sebagai galakan dan penghargaan membantu Kerajaan Negeri menguruskan PAKR.

“Selain itu, Jawatankuasa Khas Pemantau perlu diwujudkan yang mana mereka perlu bermesyuarat secara berkala bagi menyelesaikan isu berkaitan hak milik,” tambahnya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.