Categories
KENYATAAN MEDIA

Rakyat berhak berhimpun aman di Dataran Merdeka

Anak muda #KitaLawan menyambut baik maklum balas daripada pihak polis yang mula mengeluarkan kenyataan bercanggah atau mula meminta rakyat untuk menjauhi Dataran Merdeka menjelang Himpunan BERSIH 4.0.

Ini seolah-olah risikan polis menunjukkan rakyat akan turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 29 Ogos dan 30 Ogos 2015 dan rakyat perlu ditakutkan untuk tidak bersama.

Bagi pihak anak muda #KitaLawan, kami akan meneruskan usaha mengajak lebih ramai lagi rakyat untuk bersama-sama ke Dataran Merdeka pada Himpunan BERSIH 4.0.

Kita Lawan Selangor & KLRakyat perlu berani tampil ke hadapan bagi meraikan dan mempertahankan hak kita semua untuk berhimpun secara aman.

Setakat ini ceramah pentas #KitaLawan ke seluruh negara mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Sebanyak 6 buah negeri telah dijelajahi dan respon daripada rakyat tempatan jelas menunjukkan kesediaan mereka untuk turun beramai-ramai bagi menyertai Himpunan Bersih 4.0.

Hujung minggu ini Jelajah ceramah #KitaLawan akan berakhir di Johor dengan ceramah di Jalan Bilal, Kampung Melayu Pandan (Pasir Gudang) dan Jalan Badik 17, Taman Puteri Wangsa (Tebrau).

Tumpuan mobilisasi oleh anak muda #KitaLawan seterusnya akan tertumpu ke Selangor dan Kuala Lumpur.

Kami akan bergerak dari satu daerah ke satu daerah terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan awam bagi memberikan penerangan ringkas dan mengedarkan risalah.

Bermula malam ini, kumpulan anak muda #KitaLawan dengan berbaju kuning akan mengunjungi bandar Selayang dan mengadakan aksi di Country Home FoodCourt, Pasar Malam Kampung Dato Lee Kim Sai dan Bandar Baru Selayang.

Anak muda #KitaLawan akan terus menyemarakkan lagi semangat rakyat untuk menyertai Himpunan BERSIH 4.0. Kami berazam untuk terus melawan kezaliman dan penindasan.

Walau berdepan ugutan dan penindasan, rakyat berhak bersuara memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Lawan Tetap Lawan!

#KitaLawanNajib #Bersih4.0
SEKRETARIAT KITA LAWAN

Categories
KENYATAAN MEDIA

#KITALAWAN trending #1 di Twitter

Hastag #KitaLawan sedang trending tertinggi di Malaysia di laman Twitter ketika ini membuktikan perjuangan anak muda telah membuka mata dan menarik minat lebih ramai rakyat Malaysia untuk bersama dengan #KitaLawan.

Kita-LawanTidak kira melalui pilihanraya mahupun jalan raya, anak muda akan terus melawan kezaliman dan penindasan. Yang pasti dalam masa 3 hari lagi, rakyat akan turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur untuk melawan GST.

Moga perbincangan di laman-laman sosial ini akan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa suara rakyat ini mampu melakukan perubahan.

Desakan anak muda pada Himpunan 7 Mac 2015 agar #UndurNajib dan #BebasAnwar kini telah menampakkan keretakkan dan perpercahan di kalangan pimpinan UMNO.

Pastinya, tuntutan anak muda #KitaLawanGST pada Himpunan 1 Mei 2105 akan memberi kesan yang mendalam jika kerajaan terus menzalimi rakyat melalui cukai GST.

Juga, ceramah grand finale #KitaLawanGST akan diadakan pada hari Khamis, 30 April 2015 jam 8.30 malam bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Segala pemberitahuan terakhir mengenai pergerakan Himpunan 1 Mei 2015 akan dimaklumkan pada malam tersebut.

Lagi ditekan, lagi #KitaLawan!

Categories
KENYATAAN MEDIA

Menjelang himpunan 1 Mei: Penahanan anak muda tidak jejas semangat

Sekretariat #KitaLawan hadir bersolidariti bersama saudari Maria Chin Abdullah yang telah dipanggil oleh pihak polis berhubung pembabitan beliau dalam Himpunan #KitaLawan pada 28 Febuari 2015.

Kami melahirkan rasa kesal terhadap siasatan-siasatan yang masih terus dijalankan terhadap peserta himpunan-himpunan #KitaLawan sebelum ini walaupun semua himpunan berakhir secara aman, dan walaupun hak berkumpul dijamin Perlembagaan Malaysia.

Salah seorang daripada kami iaitu saudara Mandeep Singh yang hadir bersama pagi ini di Balai Polis Dang Wangi telah ditahan polis kononnya bagi membantu siasatan Himpunan #KitaLawan pada 28 Mac 2015.

Kami mengutuk penahanan saudara Mandeep menjelang Himpunan 1 Mei 2015 dan menuntut pembebasan beliau segera.

Intimidasi-intimidasi ini hanya menaikkan lagi semangat kami untuk meneruskan hak kami berhimpun secara aman.

Ianya juga menjadi testimoni kesepaduan dan kesaksamaan gerakan #KitaLawan, bukti perjuangan anak muda merangkumi semua daripada pelbagai latar belakang, bangsa, umur dan kekuatan.

Pesanan Sekretariat #KitaLawan menjelang Himpunan 1 Mei 2015:

Sekiranya berlaku tangkapan sebelum himpunan, sekiranya amaran keras dikeluarkan bagi melarang rakyat menyertai himpunan, sekiranya bandar Kuala Lumpur ditutup sekalipun (melalui perintah mahkamah), tidak kira hujan atau panas, Himpunan 1 Mei 2015 tetap diteruskan.

Rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan untuk melawan GST. Ingatlah, kekuatan #KitaLawan tidak bergantung pada mana-mana individu tetapi semangat Kita Lawan lahir dalam setiap sanubari rakyat yang cintakan negara dan sedia melawan kezaliman dan penindasan.

Berkumpul bermula jam 2.30 petang di lokasi yang ditetapkan iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek, Sogo, Dataran Maybank dan Pasar Seni sebelum bergerak ke Dataran Merdeka. Dari Dataran Merdeka kita akan berarak beramai-ramai ke KLCC bagi melawan GST.

Lagi ditekan, lagi #KitaLawan!

28 APRIL 2015
SEKRETARIAT KITA LAWAN
www.facebook.com/KitaLawanOfficial

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kayuh bantah ‘Kita Lawan GST’ di Permatang Pauh 25 Apr

Sekretariat anak muda #KitaLawan mengajak anak muda dan rakyat Permatang Pauh untuk menyertai aktiviti #KayuhBantah bagi membawa mesej anak muda #KitaLawanGST.

Tarikh: 25 April 2015 (Sabtu)

Masa: 4.00 petang

Lokasi berkumpul: Lorong Cermai 8, Taman Samagagah, Permatang Pauh.

Kayuhan ini akan melewati ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh. Bermula dari Samagagah, jelajah berbasikal ini akan melalui Permatang Nibong, Yayasan Aman dan Permatang Pasir sebelum kembali ke Samagagah.

Kita-LawanKami akan singgah betemu masyarakat setempat di kedai-kedai kopi dan runcit untuk menaikkan semangat melawan kezaliman dan memastikan pengundi menunaikan tanggungjawab menolak penindasan GST.

Beberapa kumpulan berbasikal tempatan akan menyertai anak muda #KitaLawan. Saudari Nurul Nuha Anwar juga akan turut bersama.

Mereka yang ingin menyertai aktiviti ini digalakkan membawa basikal atau motosikal sendiri. Sebarang pertanyaan sila hubungi saudari Sandrea Ng 012-5322152.

Pada masa yang sama, anak muda #KitaLawan akan turut mengadakan Himpunan #KitaLawanGST jam 4.00 petang esok di hadapan Pasarayaku di Temerloh, Pahang untuk terus menaikkan semangat anak muda untuk turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada Himpunan 1 Mei.

Lagi ditekan, lagi #KitaLawan!

24 APRIL 2015
SEKRETARIAT KITA LAWAN
www.facebook.com/KitaLawanOfficial

Categories
NASIONAL

Kita Lawan anjur himpunan mansuh GST 1 Mei

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 APR: Sekretariat Kita Lawan menegaskan gerakan itu bukan sahaja tertumpu terhadap pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi membabitkan isu semasa yang menindas rakyat Malaysia.

Sekretariatnya, Akmal Nasir berkata, Kita Lawan tidak dipolopori mana-mana pihak kerana bergantung kepada suara anak muda.

“Sebab itu soalan siapa sekretariat di belakang Kita Lawan, jika tanya saya susah nak cakap kerana bergantung kepada suara anak muda,”katanya pada forum Black14: dari Reformasi ke #KitaLawan, di Petaling Jaya, malam tadi.

Kita-LawanBeliau memaklumkan, Kita Lawan akan mengadakan himpunan bagi menuntut kerajaan memansuhkan GST yang dianggap cukai yang zalim, pada pada 1 Mei ini.

Katanya, Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta semua anak muda turun pada perhimpunan itu bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pelaksanaan GST.

“Kita Lawan bukan isu kezaliman terhadap Anwar sahaja tetapi perkara lain seperti GST. Sebab itu, kita minta anak muda turun beramai-ramai, pada 1 Mei.

“Kalau turun ramai-ramai, siapa berani nak tangkap secara berkumpulan,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hapuskan GST terhadap sukan & rekreasi

Selepas melakar sejarah Himpunan #KitaLawanGST diadakan dengan jayanya di Johor Bahru pada minggu lepas, anak muda #KitaLawan akan kembali ke Kuala Lumpur pada Sabtu ini untuk meneruskan aksi menjelang Himpunan 1 Mei 2015 dan sebagai tanda bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Penindasan GST amat dirasai golongan muda dan penjelasan-penjelasan Menteri-Menteri pentadbiran Najib Razak untuk justifikasi dan cadangan bagaimana menghadapi kerakusan GST bukan sahaja tidak membantu bahkan menghina kewarasan dan kebijaksanaan anak muda.

Kita-LawanLebih malang lagi, Menteri Belia dan Sukan yang diharap-harapkan mampu membela nasib anak muda adalah sekadar mengecewakan.

Beliau nampaknya lebih sibuk menjaga kepentingan dan kedudukan peribadi untuk mengampu Najib Razak sedangkan kepayahan anak muda menghadapi GST langsung tidak dipedulikan.

Sekretariat #KitaLawan akan terus memperjuangkan suara anak muda. Minggu ini tuntutan khusus anak muda adalah agar GST terhadap segala jenis peralatan, kegiatan, barang dan perkhidmatan berkaitan aktiviti-aktiviti sukan, rekreasi dan riadah dihapuskan dengan segera.

Kepimpinan Najib Razak seharusnya menghentikan penindasan terhadap anak muda yang ingin mengamalkan kehidupan sihat.

Apabila rakyat terus ditekan sedangkan mereka hidup dengan penuh kemewahan, anak muda tiada pilihan lain melainkan untuk terus bangkit dan lawan.

Maka pada Sabtu ini 18 April 2015, #KitaLawan akan mengadakan protes #KayuhBantah #KitaLawanGST iaitu rakyat akan berbasikal beramai-ramai mengelilingi Kuala Lumpur bermula dari Dataran Kita Lawan pada jam 4.00 petang.

Kami menjemput semua yang ingin menyertai aktiviti #KayuhBantah bolehlah membawa basikal masing-masing pada petang Sabtu ini.

Mereka yang ingin menyatakan pendirian agar GST terhadap sukan dan riadah dihapuskan boleh berhimpun di Dataran Kita Lawan dengan memakai baju hitam sebagai tanda sokongan.

Kami juga menyeru kepada anak muda di luar Kuala Lumpur untuk turut bersama mengadakan aktiviti seperti #KayuhBantah di kawasan masing-masing pada Sabtu ini bagi mengajak rakyat Malaysia turun ke Kuala Lumpur untuk #KitaLawanGST pada 1 Mei 2015.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Forum Black 14 imbas peristiwa Anwar dipenjara 1999

Pihak Sekretariat #KitaLawan ingin mengucapkan syabas dan tahniah khususnya kepada rakyat Johor yang berani berhimpun secara aman pada Sabtu lepas bagi menyatakan bantahan terbuka terhadap pelaksanaan GST.

Tuntutan mereka agar kesengsaraan kos sara hidup rakyat diambil peduli, yang akan terus diperjuangkan anak muda #KitaLawan.

Kita-LawanTernyata Himpunan #KitaLawanGST versi Johor telah menyuntik semangat dan keazaman kepada rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 1 Mei 2015.

Terima kasih juga kepada pihak polis dan polis trafik Johor Bahru yang telah bertugas pada hari tersebut.

Kami tegas berpendirian bahawa hak berhimpun secara aman adalah dijamin oleh undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Malaysia.

Namun, kami juga akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa yang hanya menjalankan tugas mereka agar anak muda dapat terus fokus dan menumpukan kepada usaha membela isu-isu rakyat.

Selain penahanan 4 orang peserta Himpunan #KitaLawanGST pada Sabtu lepas (mereka semua telah dibebaskan), pihak polis Johor Bahru telah meminta saudara Akmal Nasir, Pengarah Strategi AMK untuk hadir ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru untuk memberi keterangan.

Saudara Akmal akan bekerjasama dan hadir ke IPD Johor Bahru esok, Selasa 14 April 2015 jam 11.00 pagi dengan ditemani oleh peguam Hassan Karim.

FORUM BLACK 14: DARI REFORMASI KE #KITALAWAN

Rencana anak muda #KitaLawan akan diteruskan lagi dengan diskusi forum anjuran bersama Malaysiakini sempena mengimbas kembali peristiwa Black 14 dimana saudara Anwar Ibrahim dijatuh hukuman penjara pada 14 April 1999 dan juga mengenang kembali penahanan tanpa bicara 10 orang aktivis Reformasi pada tahun 2001 di bawah ISA.

Seterusnya, forum akan membincangkan kebangkitan anak muda #KitaLawan dan bagaimana ia akan mengubah senario politik dan masyarakat Malaysia.

Butirannya adalah seperti berikut:

Tarikh: 14 April 2015 (Selasa)
Masa: 8.00 malam – 11.00 malam
Tempat: @Kini No. 9, Jalan 51/205A, Off Jalan Tandang, 46050 Petaling Jaya, Selangor
Panelis:

1) Akmal Nasir, Seketariat #KitaLawan
2) Michelle Yesudas, Peguam Hak Asasi Manusia LFL
3) Malek Husin, Bekas Tahanan ISA
4) Amin Iskandar, Pengarang TMI
#BebasAnwar #UndurNajib #PecatIGP #KitaLawanGST

13 APRIL 2015

Categories
KENYATAAN MEDIA

#KitaLawan himpun 28 Mac KL

Sejak himpunan #KitaLawan 7 Mac 2015, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak bukan sahaja gagal memberi respon yang memuaskan terhadap tuntutan anak muda, malah dalam tempoh tersebut beliau hanya terus berdiam diri daripada menjawab isu-isu yang rakyat.

Sebagai contoh, pendedahan pembelian jet peribadi rasmi oleh Dato’ Seri Najib Razak dalam keadaan rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup yang melampau adalah amat mendukacitakan dan mengecewakan.

Kita-LawanPentadbiran beliau tidak telus dan apabila perbuatan beliau terbongkar beliau hanya memilih untuk mendiamkan diri. Ternyata beliau bukan sahaja boros dan membazirkan harta negara, tetapi beliau langsung tidak prihatin atau mempedulikan rakyat.

Sebaliknya, apabila ada kumpulan rakyat ingin bertanyakan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), mereka bukan sahaja tidak diberikan penjelasan sepenuhnya, mereka juga dikasari dan ditangkap seolah-olah pentadbiran Najib Razak ingin menutup ruang dan menyekat suara rakyat.

Ianya juga seperti amaran keras kepada rakyat untuk berdiam diri dan bermula 1 April 2015 tiada siapa dibenarkan untuk mempertikaikan GST.

Kekerasan yang dikenakan terhadap aktivis Bantah GST juga seolah-olah adalah respon secara tidak langsung terhadap desakan anak muda #KitaLawan agar Ketua Polis Negara (IGP) dipecat.
Walaupun anak muda berdepan dengan pelbagai tekanan dan risiko, kami akan teruskan dengan Duduk Bantah di Dataran Merdeka sehingga Sabtu ini. Berikut adalah aksi yang dirancang menjelang Himpunan 28 Mac 2015:

1. PELANCARAN TEMA KEMPEN #PECATIGP

– Rabu (25.03.2015) jam 9.00 malam di tapak Duduk Bantah #KitaLawan, Dataran Merdeka.

– Pendedahan senarai salah guna kuasa dan kezaliman terhadap rakyat oleh IGP

– Solidariti bersama mangsa-mangsa tahanan politik termasuk Anwar Ibrahim, OKZ13, #BantahGST, #KitaLawan dan lain-lain

2. CERAMAH: RAKYAT MENENTANG GST di DATARAN MERDEKA

– Jumaat (27.03.2015) jam 9.00 malam

– Pimpinan politik, NGO, anak muda dan mahasiswa telah dijemput antaranya Dato’ Ambiga, Saudara Mat Sabu, YB Rafizi Ramli, YB Theresa Kok, YB Tian Chua, Saudari Maria Chin, Saudara Khairol Najib dan lain-lain.

– Hadirin seterusnya dijemput untuk bersama-sama dengan aktivis #KitaLawan bermalam di Dataran Merdeka.

 

3. HIMPUNAN #KITALAWAN 28.03.2015

– Berkumpul di tiga lokasi iaitu:-

o Masjid Jamek – YB Rafizi Ramli, YB Chang Lih Kang dan Saudara Fariz Musa

o Air terjun, Dataran Merdeka – YB Tian Chua, Saudari Nurul Nuha dan Saudara Mandeep Singh

o Ibupejabat PAS, Jalan Raja Laut – Saudara Mat Sabu, Saudara Suhaizan Kayat dan Saudara Khairol Najib

– Peserta akan bergerak ke Sogo dari lokasi tersebut bermula jam 4.00 petang

– Tema adalah baju hitam

– Mesej himpunan akan tertumpu kepada keborosan pentadbiran Najib Razak sedangkan kehidupan rakyat terus ditekan terutamanya kos sara hidup yang tinggi sempena pelaksanaan GST.

– #KitaLawan akan terus mendesak agar Dato’ Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dengan segera dan seterusnya membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Semua rakyat dijemput bersama-sama dengan anak muda.

Berdiam diri bukanlah satu pilihan.

Lagi ditekan, lagi #KitaLawan

 

#KitaLawan: Bendahari Pemuda PAS menjadi orang kelima ditahan

Bendahari Pemuda PAS Fakhrurazi Mokhtar menjadi orang kelima yang ditahan polis berhubung perhimpunan ‘Kita Lawan’.

#KITALAWAN turun beramai-ramai!

Demi mempertahankan sistem kehakiman Negara kita, Rakyat Malaysia diseru menyertai himpunan ‘KITA LAWAN’

Pembentukan gabungan yang dinamakan “Kita Lawan” dibuat sebagai reaksi terhadap pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Taip #KITALAWAN untuk mengetahui info lebih lanjut mengenai himpunan ‘KITA LAWAN’ yang seterusnya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pemerhati antarabangsa & Majlis Peguam pantau himpunan KitaLawan 7 Mac

Amaran pihak polis yang menyebut bahawa Himpunan #KitaLawan pada 7 Mac 2015 sebagai himpunan haram adalah tidak berasas.

Undang-undang secara jelas menyatakan hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman adalah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Manakala pandangan daripada pihak peguam dan pakar undang-undang adalah konsisten yang menjelaskan tugas polis adalah bukan untuk menghalang tetapi memudah cara dan membantu melancarkan pergerakan himpunan.

SOGO-307-212x300Rancangan Himpunan #KitaLawan pada 7 Mac 2015 juga telah dimaklumkan kepada pertubuhan-pertubuhan berkaitan undang-undang dan hak asasi manusia dalam dan luar negara.

Kami menyambut baik kesediaan Majlis Peguam Malaysia (Malaysian BAR) yang akan menghantar satu pasukan pemantauan (monitoring team) pada esok.

Kami juga mengalu-alukan kehadiran satu delegasi pemerhati antarabangsa berkaitan hak asasi manusia yang akan turut bersama menyertai Himpunan #KitaLawan Sabtu ini.

Justeru itu, kami menyeru rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai bersama dengan anak muda Sabtu ini bagi menyatakan hak kita untuk berhimpun secara aman. Anak muda juga sekali lagi memohon kerjasama pihak polis untuk jalankan tugas mereka seadilnya dan mesra rakyat.

Himpunan #KitaLawan akan bermula jam 3.00 petang di tiga lokasi iaitu Pasar Seni, Masjid Jamek dan Ibu Pejabat PAS sebelum kita bergerak beramai-ramai ke Sogo.

Sekretariat #KITALAWAN
FB: https://www.facebook.com/KitaLawanOfficial
TW: @KitaLawan_my

Categories
NASIONAL

Negara luar turut anjur Himpunan Solidariti Kita Lawan 7 Mac

Oleh: MARNIZA OTHMAN

SHAH ALAM, 5 MAC: Himpunan Solidariti Kita Lawan yang bakal berlangsung Sabtu ini (7 Mac) turut melibatkan beberapa lokasi di luar negara.

Lokasi perhimpunan bagi membantah pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik peringkat antarabangsa itu adalah seperti berikut :

i. Old Palace Yard, London (berdekatan dengan bangunan Parlimen United Kingdom) bermula jam 11 pagi waktu tempatan

Anwarii. Hadapan Bangunan Parlimen Australia, Canberra bermula jam 4 petang waktu tempatan

iii. Hadapan Bangunan Parlimen South Australia, Adelaide bermula jam 4 petang waktu tempatan

iv. Liberty Square (Freedom Square) di Taipei, Taiwan bermula jam 7 malam waktu tempatan.

Ia turut diadakan di bandar New York serta beberapa bandar di Amerika Syarikat, Jepun, New Zealand dan negara Eropah membabitkan lokasi himpunan yang akan dimaklumkan kelak.

Orang ramai diminta berkumpul jam 4 petang dan akan bermula dari Pusat Membeli Belah Sogo, Kuala Lumpur.

Orang ramai boleh melayari Facebook rasmi, Kita Lawan untuk perkembangan terkini.

-NFN-