Categories
KENYATAAN MEDIA

Menjelang himpunan 1 Mei: Penahanan anak muda tidak jejas semangat

Sekretariat #KitaLawan hadir bersolidariti bersama saudari Maria Chin Abdullah yang telah dipanggil oleh pihak polis berhubung pembabitan beliau dalam Himpunan #KitaLawan pada 28 Febuari 2015.

Kami melahirkan rasa kesal terhadap siasatan-siasatan yang masih terus dijalankan terhadap peserta himpunan-himpunan #KitaLawan sebelum ini walaupun semua himpunan berakhir secara aman, dan walaupun hak berkumpul dijamin Perlembagaan Malaysia.

Salah seorang daripada kami iaitu saudara Mandeep Singh yang hadir bersama pagi ini di Balai Polis Dang Wangi telah ditahan polis kononnya bagi membantu siasatan Himpunan #KitaLawan pada 28 Mac 2015.

Kami mengutuk penahanan saudara Mandeep menjelang Himpunan 1 Mei 2015 dan menuntut pembebasan beliau segera.

Intimidasi-intimidasi ini hanya menaikkan lagi semangat kami untuk meneruskan hak kami berhimpun secara aman.

Ianya juga menjadi testimoni kesepaduan dan kesaksamaan gerakan #KitaLawan, bukti perjuangan anak muda merangkumi semua daripada pelbagai latar belakang, bangsa, umur dan kekuatan.

Pesanan Sekretariat #KitaLawan menjelang Himpunan 1 Mei 2015:

Sekiranya berlaku tangkapan sebelum himpunan, sekiranya amaran keras dikeluarkan bagi melarang rakyat menyertai himpunan, sekiranya bandar Kuala Lumpur ditutup sekalipun (melalui perintah mahkamah), tidak kira hujan atau panas, Himpunan 1 Mei 2015 tetap diteruskan.

Rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan untuk melawan GST. Ingatlah, kekuatan #KitaLawan tidak bergantung pada mana-mana individu tetapi semangat Kita Lawan lahir dalam setiap sanubari rakyat yang cintakan negara dan sedia melawan kezaliman dan penindasan.

Berkumpul bermula jam 2.30 petang di lokasi yang ditetapkan iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek, Sogo, Dataran Maybank dan Pasar Seni sebelum bergerak ke Dataran Merdeka. Dari Dataran Merdeka kita akan berarak beramai-ramai ke KLCC bagi melawan GST.

Lagi ditekan, lagi #KitaLawan!

28 APRIL 2015
SEKRETARIAT KITA LAWAN
www.facebook.com/KitaLawanOfficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.