Categories
KENYATAAN MEDIA

POTA langgar prinsip keadilan

Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) ingin menyatakan kekecewaan kami terhadap Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada jam 2.25 pagi tadi tanpa sebarang pindaan walaupun telah dibahaskan dengan terperinci oleh ahli-ahli Dewan Rakyat Pakatan Rakyat.

Kami tetap dengan pendirian Pakatan Rakyat yang berpendapat bahawa POTA merupakan satu Rang Undang-Undang zalim yang hanya menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kerana membenarkan tahanan tanpa bicara di samping menarik hak-hak asasi manusia yang termaktub di bawah sistem undang-undang negara.

POTA secara amnya telah melanggar prinsip keadilan sisi undang undang dengan membenarkan tahanan tanpa bicara, malahan Akta yang tidak membenarkan semakan kehakiman tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan di bawah undang-undang.

Kelulusan Akta tanpa mengambil kira kritikan terhadap isinya menunjukkan bahawa kerajaan serta ahli-ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional tidak mengendahkan keluhuran prinsip undang-undang di negara ini. Ia juga membuktikan bahawa kerajaan mempunyai niat yang terselindung dalam meluluskan rang undang-undang tersebut.

Telah sedia maklum bahawa ISA yang telah dipinda sebelum ini telah digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menahan sesiapa sahaja yang menentang kerajaan, dan keluasan definisi individu yang boleh ditahan di bawah POTA juga memberi andaian yang sama, bahawa Akta tersebut boleh disalahgunakan untuk membuat tahanan politik.

Begitu juga Akta Hasutan yang digunakan sebagai senjata politik.

Malah, Akta Perhimpunan Aman yang kononnya merupakan reformasi perundangan di bawah Najib Razak turut lari daripada tujuan asalnya.

Sekali lagi hak asasi manusia dan sistem demokrasi negara telah dimatikan oleh kerakusan kerajaan Barisan Nasional dan ahli Dewan Rakyatnya.

* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua AMK Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published.