Categories
SELANGOR

Maahad Tahfiz Integrasi Sains & KAFA Menengah dibina setiap daerah

Oleh: NAEEM RAFFI

KLANG, 24 APR: Selangor komited mewujudkan Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan Sekolah Kafa Menengah di setiap daerah di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, rancangan itu bersandarkan kepada permintaan tinggi selain melahirkan modal insan berilmu duniawi dan pegangan agama yang mantap dalam menjana kemajuan Selangor.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa tapak sesuai untuk membina maahad tahfiz antaranya di Bukit Jelutong dan Kuala Selangor. Masing-masing dalam keluasan 10 ekar.

murid tahfiz 25 julai 01“Projek ini, kita jadual akan dilaksanakan menjelang tahun hadapan dalam RMK-11.

“Soal pembinaan bukan suatu kekangan besar buat Kerajaan Negeri, sebaliknya sumber tenaga pengajar. Kita masih kekurangan guru akademik khususnya dalam mata pelajaran sains dan matematik tambahan,” katanya selepas lawatan rasmi ke Pejabat Agama Islam Daerah Klang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Agama Daerah Klang, Jamali Mohd Adnan dan 56 Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA) serta Ketua Guru KAFA daerah Klang.

YB Yunus di Dialog bersama kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah Klang (1)Sehingga kini, Kerajaan Negeri sudah mewujudkan Maahad Tahfiz Intergrasi Sains di tiga buah daerah.

Sementara, sebuah lagi Maahad Tahfiz Integrasi Sains di Bagan Lalang, Sepang kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2016.

“Selepas siapnya Maahad Tahfiz keempat ini, kita mampu mengambil 300 pelajar setiap tahun, namun belum cukup menampung permintaan yang tinggi. Tahun ini sahaja, lebih 4,000 pelajar SRA mendapat mumtaz (cemerlang),” katanya.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

RM80,000 baiki bumbung Maahad Tarbiyah Islamiah Al-Ansar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 APR: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM80,000 bagi membaiki bumbung asrama lelaki Maahad Tarbiyah Islamiah Al-Ansar, Kuala Selangor yang ranap dilanda ribut, pada 17 April lalu.

Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perkara itu diputuskan mesyuarat Exco yang diadakan, hari ini.

maahad“Kelmarin saya sudah meninjau. Anggaran kos juga sudah diserahkan ke Pejabat Exco Pendidikan yang akhirnya memutuskan beri peruntukan  kepada maahad itu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Beliau berkata, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali juga akan mengadakan lawatan ke asrama berkenaan bagi melihat sendiri kerosakan bumbung yang menempatkan 150 pelajar lelaki itu, pada 27 April ini.

“Dato’ Menteri Besar juga akan solat di masjid berhampiran nanti,” katanya.

Bumbung asrama lelaki maahad berkenaan ranap akibat  ribut yang kuat, kira-kira jam 5.45 petang, pada 17 April lalu.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila kemusnahan itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan.

-NFN-

Categories
AGAMA SELANGOR

Q&A : Antara keadilan untuk guru KAFA dan penjawat awam

Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Selangor menjadi kontroversi berikutan perbuatan individu tertentu yang mendapat perhatian media. Ikuti wawancara NORHAYATI UMOR bersama Exco Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Pakatan Rakyat berjanji menaikkan elaun melalui manifesto PRU 13, dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan. Adakah ia sekadar janji?

Saya tidak menafikan kenaikan itu antara manifesto PRU 13. Sebelum PRU pun kita bincangkan perkara itu di peringkat negeri supaya ia dilaksanakan kerana kita melihat keperluannya. Selepas 2014, Menteri Besar ketika itu mahu melihat justifikasi yang perlu supaya setanding kenaikan.

Dalam sidang dewan disebut bahawa kajian kenaikan sudah selesai. Ia terlewat disebabkan penilaian penambahbaikan dalam kajian. Penjelasan?

jais kafaUmumnya, guru KAFA hanya mengajar empat jam bermula 2.30 petang hingga 6.30 petang. Kita melihat bagaimana untuk mempertingkat atau memperkasa guru KAFA melalui kenaikan itu.

Apabila adanya insentif, kita dapat mempertingkat kesediaan mereka sebagai guru. Seterusnya memberi impak baik hasil kenaikan itu. Contoh, pelajar lebih cemerlang. Jadi, kita mempertimbang justifikasi terbaik selaras kenaikan.

Apakah dan bagaimanakah justifikasi itu dinilai?

Antaranya masa mengajar yang tidak setanding dengan penjawat lain. Kita juga mempertimbang tempoh perkhidmatan guru. Ini bermaksud, ada guru berkhidmat tiga bulan, setahun, 10 tahun, 15 tahun dan mungkin lebih. Jadi, kita menilai semua itu ia bagi keadilan kepada semua. Tidak boleh diberi sama rata.

Beberapa justifikasi lain yang dicadang ialah bagaimana mahu memperkasa kekuatan guru itu sebagai pendidik. Dari segi pengetahuan agamanya ataupun kursus yang kita rancang supaya mereka benar-benar bersedia sebagai seorang pendidik.

Kerana ada perbezaan tempoh berkhidmat memerlukan kajian?

yunusYa. Itu yang kita lakukan. Kalau kira ia tidak adil kerana ada perbezaan tempoh perkhidmatan.

Bilakah sebenarnya kajian itu akan selesai?

Kajian dibuat tahun lepas kerana kita jangka hujung tahun itu juga selesai, kemudian dipersembah kepada Kerajaan Negeri untuk dibincang. Namun, pentadbiran Kerajaan Negeri ketika itupun tidak meletakkannya dalam belanjawan.

Ketika ini, kajian sudah selesai. Hanya menunggu masa dibincang pada peringkat negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Kajian akan dibentang oleh pengkaji diketuai Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Profesor Madya Datuk Halim Tamburi.

Kita hanya menunggu perbincangan dengan MMKN untuk putuskan justifikasi apa yang kita beri dalam memperkasa guru-guru  di samping menaikkan elaun RM1,500 itu.

Bilakah akan dibawa ke MMKN?

Saya sudah arahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyediakan kertas berkaitan. Insya-Allah selepas mempersembahkannya kepada Dato’ Menteri Besar untuk pengetahuan beliau, kita akan bawa ke MMKN dan putuskan.

Jika sudah dibawa ke MMKN, bilakah kenaikan dapat diimplementasi?

Ia tidak akan mengambil masa lama. Pada hakikatnya, konsep yang dibawa ini tiada dalam belanjawan tambahan tetapi implementasinya akan dilakukan tahun depan. Soal keputusan, kita boleh putuskan bila-bila masa walaupun tidak dibajetkan tahun ini.

KAFA-Grafik

Belum dibawa ke MMKN tetapi yakin dapat diimplementasi?

Secara dasarnya, saya sudah berbincang dengan Dato’ Menteri Besar. Kita melihat ia bukanlah sesuatu jumlah begitu besar walaupun melibatkan lebih 6,000 guru KAFA. Implikasi kewangan kurang RM18 juta setahun. Saya melihat Dato’ Menteri Besar seolah-olah bersetuju.

Berapa kali elaun guru KAFA dinaikkan dan berapa nilainya?

Ini elaun bukan gaji. Kalau dulunya (zaman pentadbiran Umno BN) sekadar RM250 kemudian RM700 tetapi pada era Pakatan, dinaikkan kepada RM1,000 dan kemudian, naik lagi kepada RM1,300.

Kini, kita bercadang naikkan kepada RM1,500. Kita mahu jadikan ia sebagai pendapatan tetap kerana tiada kenaikan kalau ikut perjanjian. Mereka penjawat sambilan bukan penjawat awam. Pada masa ini, sumbang-an Kerajaan Persekutuan hanya RM800 manakala Kerajaan Selangor sebanyak RM500.

Apakah ada pihak sengaja mensensasi isu ini sedangkan kenaikan tetap dilaksanakan cuma menunggu masa sesuai?

Isu bermula dari dua daerah yang saya turun padang menerusi program ‘Kampungku’. Kita sudah jumpa dengan semua guru. Saya kira sebahagian besarnya cukup memahami. Bukan kita tidak mahu laksanakan tetapi menunggu masa sesuai untuk diputuskan.

Ia perkara yang tidak berapa molek. Kalau sekadar menyampaikan surat, tidak perlu masuk ke Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika bersidang sedangkan boleh diserah kepada wakil. Saya pun boleh berjumpa. Tiada masalah. Cara itu tidak kena kerana DNS ada peraturannya.

Nasihat kepada guru KAFA terhadap kenaikan itu, apatah lagi ketika ini, kehidupan semasa amat menekan rakyat?

Bersabarlah supaya kita berlaku adil dengan penjawat lain. Tidak dinafikan pekerjaan itu cukup mulia kerana pada masa sama ia mengangkat Islam. Tetapi justifikasi yang kita lakukan, baik supaya ia setanding imbuhan itu nanti.

Kita buat mengikut pasar garis kemiskinan. RM1,500 ialah kadar minimum, mungkin akan diguna pakai kepada semua kerana ia merupakan elaun, kita lihat kaedah mana yang baik dan adil.

Categories
SELANGOR

Elaun guru KAFA Selangor dijangka naik lagi tahun ini

Oleh: LIZAWATI MADFA

KAJANG, 29 JAN: Elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Selangor dijangka akan dinaikkan lagi tahun ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kajian berhubung perkara berkenaan sudah siap dan akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

Multaqa imam, ajk, takmir, guru kafa di KUIS (1)“Kita akan melihat beberapa justifikasi yang akan dipertimbangkan untuk dibentangkan dalam bentuk cadangan dalam MMKN seminggu dua lagi.

“Buat masa ini, kita memberi tumpuan bagaimana dapat memberi lebih faedah kepada guru Kafa ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian penutup Majlis Multaqa Imam, Ahli Jawatankuasa Masjid, Guru Kafa dan Guru Takmir Peringkat Negeri Selangor 2015 di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), di sini, hari ini.

Multaqa imam, ajk, takmir, guru kafa di KUIS (9)Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Sebelum ini, gaji guru Kafa dinaikkan dari RM738.30 kepada RM1000 dan elaun penyelia Kafa, dari RM1112.00 kepada RM1500.

Kerajaan Negeri sekali lagi mengumumkan kenaikan gaji guru Kafa dari RM1000 kepada RM1300 dengan meluluskan tambahan elaun RM300.

-NFN-

Istiadat pengurniaan watikah perlantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor 2015-2017

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan perlantikan Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai Pengerusi MAIS, dan anggota-anggota lain termasuk Exco Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, mantan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang UiTM Prof Madya Datin Paduka Saudah Sulaiman.

Categories
SELANGOR

600 pelajar DUN Sijangkang terima bantuan persekolahan 2015

Oleh : NAEEM RAFFI

KUALA LANGAT, 1 JAN: 600 pelajar menerima bantuan beg dan peralatan persekolahan dalam program ‘Back to School’ anjuran Pejabat Khidmat Adun Sijangkang menjelang pembukaan sesi persekolahan 2015.

Program itu disempurnakan Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, yang mana Kerajaan Negeri sudah membelanjakan lebih RM2 juta untuk program ‘Back to School’.

Program penyampaian barangan sekolah oleh YB Yunus Hairi di Telok Panglima Garang (2)Ahmad Yunus berkata, bantuan itu akan sampaikan melalui sekolah dan kampung berdasarkan senarai penerima yang dikenalpasti memerlukan.

“Saya berharap, pemberian ini dapat membantu ibu bapa dari kalangan kurang berkemampuan, selain memberi dorongan kepada pelajar,” katanya ketika berucap di Dewan Komuniti Taman Datuk Hormat, Teluk Panglima Garang, di sini, hari ini.

Selain itu, 300 pelajar peringkat rendah dan menengah di DUN itu juga ditawarkan kupon gunting rambut percuma yang boleh ditebus di dua kedai gunting rambut terpilih.

Program penyampaian barangan sekolah oleh YB Yunus Hairi di Telok Panglima Garang (8)“Program ini sejajar dengan mesej Belanjawan 2015 yang dibentangkan November lalu, belanjawan yang peduli rakyat.

“Walaupun tidak seberapa, ia membantu mengurangkan bebanan kos persiapan pembukaan sekolah yang hari ini semakin menekan,” katanya.

-NFN-

Exco: Selangor belum sedia laksana Hudud

Pelaksanaan hukum hudud belum sesuai dijalankan di Selangor berdasarkan komposisi kaum dan keadaan semasa negeri ini, tegas Exco Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.