Categories
SELANGOR

Setiakawan rakan media elak dicedera demonstran isu salib

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 APR : Atas dasar setiakawan sebagai rakan media mendorong Janatul Firdaus Yaakob melindungi wartawan The Star, Nicholas Cheng daripada dicederakan peserta demonstrasi membantah simbol agama di Taman Medan, Ahad lalu.

Janatul atau mesra disapa Jannah merupakan wartawan Sinar Harian yang turut bersama Cheng menjalankan tugas membuat liputan berhubung isu bantahan gereja memasang tanda salib.

20150418222642Bercakap kepada Selangor Kini, katanya walaupun saling tidak mengenali, tetapi dasar perikemanusiaan yang ada membuatkan beliau merasa bertanggungjawab untuk melindungi Cheng.

“Saya bantu beliau (Cheng) kerana kami sama-sama rakan wartawan, malah saya akan bantu sesiapa sahaja sekiranya mereka berdepan ancaman sebegitu.

“Saya ikhlas tolong beliau yang pada ketika itu sudah digertak oleh peserta demonstrasi,” katanya.

Jannah mendapat pujian ramai di laman sosial selepas wartawan The Star itu memuatnaik statusnya di Facebook yang menceritakan bagaimana dia ‘dilindungi’ oleh seorang wartawan wanita Islam yang hanya dikenali sebagai Jannah.

Cheng menceritakan dia merasa sangat cemas apabila dikerumun peserta demonstrasi yang membantah sebuah gereja memasang tanda salib tetapi dilindungi oleh Jannah dan wanita itu menemaninya sepanjang temubual dijalankan.

Bercerita lanjut, Jannah berkata suasana ketika itu agak tegang apabila setiap soalan yang ditanya Cheng dibalas dengan penuh kemarahan oleh peserta demonstrasi.

“Mereka tidak sepatutnya melepaskan kemarahan kepada Cheng yang hanya menjalankan tugas.

“Disebabkan itu saya merasa bertanggungjawab untuk melindungi dan membantu beliau,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.