Categories
NASIONAL

Calon BN kena jujur perjelas projek kontraktor Bumiputera

Oleh: NAZLI IBRAHIM/ HAFIZAN TAIB

BUKIT MERTAJAM 2 MEI: Calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Suhaimi Shabudin patut memberi penjelasan kesukaran Bumiputera di Pulau Pinang mendapatkan projek seperti didakwa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Exco Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, jawapan Suhaimi itu dinantikan pengundi Permatang Pauh yang mahu kebenarannya.

“Dalam kempen PRK Permatang Pauh, Timbalan Perdana Menteri berkali-kali cakap kontraktor Bumiputera sukar dapat kontrak.

“Suhaimi sendiri sebagai kontraktor jangan menipu, kena berkata benar sama ada dia sendiri pernah dapat kontrak Kerajaan Negeri atau tidak.

“Saya tak mahu menjawab tetapi mahu dia sendiri jawab dengan jujur,” kata Boon Poh ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas ucapan beliau di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

Bercakap lanjut, Boon Poh berkata, amalam tender terbuka yang dijalankan Kerajaan Negeri membolehkan ramai kontraktor Bumiputera memperolehi kontrak Kerajaan Negeri.

“Sesiapa boleh dapat kontrak dari Kerajaan Negeri dan kami tak melihat latar belakang politik.

“Hingga sekarang kontraktor Umno sendiri pernah berjaya mendapat kontrak melalui tender terbuka ini,” kata Boon Poh lagi.

Sementara itu, ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, berkata setakat ini tiada sebarang kenyataan atau komen kedengaran daripada Suhaimi berhubung perkara itu.

“Sebagai kontraktor, adakah beliau boleh bekerja dan menyara hidup di Pulau Pinang?

“Maklumbalas daripada media juga diterima apabila ditujukan soalan kepadanya, beliau tidak mahu komen. Tiada komen daripadanya berhubung GST, rasuah atau pembangunan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.