Categories
SELANGOR

Jajaran jalan baru atasi kesesakan Kajang

Oleh:  AFEEQA AFEERA

KAJANG, 31 MEI: Jajaran jalan baru yang menghubungkan Bandar Baru Bangi dan Bandar Tekonologi Kajang akan dibina bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Sayuthi Bakar berkata, ia melibatkan pembinaan persimpangan bertingkat bermula dari Persiaran Bangi merentasi Jalan Reko dan landasan kereta api ke Kajang 2 seterusnya Nadayu 92, Tropicana Heights.

Katanya, ia akan disiapkan dalam tempoh 18 bulan bermula 14 April lalu hingga 13 Oktober 2017 dengan anggaran kos RM49.3 juta.

kajang-bandar“Buat masa ini, kenderaan dari Bandar Baru Bangi ke Bandar Teknologi Kajang/Semenyih perlu membuat pusingan dan melalui terowong di Jalan Reko atau bandar Kajang.

“Pembinaan jaringan jalan baru akan menghubungkan dua kawasan ini dengan mudah dan sempurna tanpa melalui bandar Kajang.

“Secara langsung, isipadu aliran lalu lintas di bandar Kajang akan dikurangkan terutama pada waktu puncak dan memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kontrak bagi Cadangan Pembinaan Persimpangan Bertingkat Kajang 2 dan Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Pembinaan Jabatan ke Bandar Teknologi Kajang di Menara MPKj, baru-baru ini.

sayuthi bakarSayuthi berkata, jaringan jalan berkenaan turut melibatkan pembinaan jambatan baru Bandar Teknologi Kajang dengan anggaran kos RM5.729 juta.

Beliau berkata, kerja pembinaan jambatan itu akan dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan dan dijangka siap sebelum 13 Oktober 2017.

“Kerja pembinaan ini melibatkan jambatan sedia ada yang akan dinaik taraf dari ‘single carriageway’ kepada ‘double carriageway’ dengan penambahan struktur jambatan baru.

“MPKj berharap jajaran baru ini dapat memberi kemudahan kepada penduduk sekitar dan kerja pembinaan berjalan mengikut jadual perancangan yang ditetapkan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.