Categories
SELANGOR

MB: Pengangkutan awam lebih penting dari lebuh raya

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Kerajaan perlu menyediakan peruntukan besar bagi penambahbaikan sistem pengangkutan awam dan tidak tertumpu kepada pembinaan lebuh raya.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, pembinaan lebuh raya perlu diperhalusi secara terperinci sebelum diputuskan.

“Pembinaannya perlu diperhalusi jika ia menjadi keperluan. Paling utama adalah peruntukan lebih besar untuk sistem pengangkutan awam kerana mampu menyelesaikan kesesakan trafik di bandar khususnya Selangor,” katanya ketika mengulas pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), di sini, hari ini.

Projek-mrt-300x202Tegasnya, Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan yang dikemukakan untuk meningkatkan pengangkutan awam seperti Aliran Transit Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) melibatkan jajaran Sungai Buloh sehingga Putrajaya.

“Pagi tadi, kita adakan mesyuarat bersama SPAD dan MRT Corporation untuk melihat pembangunan MRT 2 dari segi keberkesanan dan jajaran.

“Kita mendukung pembinaan itu kerana ia sebahagian daripada sistem pengangkutan awam yang dapat membantu menyuraikan aliran trafik di Selangor khususnya jajaran antara Sungai Buloh dengan Putrajaya,” katanya.

Pembentangan RMK-11 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Dewan Rakyat menyentuh pembinaan MRT dan LRT3 di Lembah Klang.

Selain itu, Najib turut mengumumkan pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat untuk akses lebih baik bagi penduduk pantai barat Perak dan Selangor yang dijangka siap pada tahun 2019.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.