Categories
SELANGOR

MB: RM20 juta baik pulih & siapkan 1,000 rumah terbengkalai

Oleh: SYASYA SUFIAN

SERI KEMBANGAN, 9 MEI: Sebanyak RM20 juta diperuntukkan melalui pogram ‘Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai atau Dana TEPAT’ untuk memulih dan menyiapkan kira-kira 1,000 rumah terbengkalai.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata projek itu sedang giat dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat dan pembeli dapat memiliki dan mendiami rumah yang sudah dibeli bertahun.

MB Dana“Program dana itu hasil inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memulihkan projek terbengkalai.

“Bermula tahun ini, empat projek dikenal pasti untuk dipulihkan melalui Dana TEPAT yang melibatkan 956 unit rumah kos rendah,” katanya sewaktu Majlis Penyerahan Sijil Layak Menduduki Projek Perumahan Pangsapuri Sri Indah, di sini hari ini.

Katanya sebanyak 122 projek terbengkalai sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang kini perlu ditanggung Kerajaan Negeri.

Ia melibatkan 32,000 unit rumah termasuk 113 projek perumahan dan sembilan projek pembesaran kampung.

“Syarikat pemaju tidak mempunyai kewangan kukuh antara punca projek perumahan terbengkalai. Ini berlaku akibat pentadbiran terdahulu memberi projek tersebut bukan berdasarkan kemampuan tetapi berdasarkan hubungan politik.

“Kesan kepada pembeli yang terpaksa membayar pinjaman bank dan kadar faedah yang tinggi selama bertahun.

“Dalam waktu yang sama mereka perlu membayar sewa rumah lain akibat rumah yang dibeli dari pemaju tidak siap,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, Kerajaan Negeri memastikan pembangunan kali ini lebih berkualiti dan memastikan peraturan ketat dipatuhi pemaju.

“Kita memperketatkan lagi prosedur pengeluaran lesen pemaju perumahan supaya mereka benar-benar mampu menyiapkan projek perumahan pada waktu ditetapkan.

“Pembinaan rumah mampu milik, haruslah lebih berkualiti untuk keselesaan rakyat,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.