Categories
SELANGOR

15 Adun Selangor ke Singapura bentuk hubungan dua hala

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 JUN: Seramai 15 ahli Dewan Negeri Selangor (DNS) menyertai lawatan rasmi ke Singapura pada 8 dan 9 Jun lalu.

Diketuai Speaker DNS, Hannah Yeoh, lawatan itu bertujuan membentuk hubungan dua hala antara Parlimen Singapura dan DNS di samping mempelajari amalan terbaik agensi utama negara itu.

Lebih menarik, Hannah juga berkesempatan melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Wanita Pertama Singapura, Halimah Yaacob di Bangunan Parlimen.

Sidang Dun Selangor“Mereka bertukar pandangan berkenaan beberapa isu parlimen seperti perniagaan, keselamatan dan hal pentadbiran.

“Hannah juga berkongsi pembaharuan yang dibuat DNS untuk mengukuhkan pembangkang dan memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pilihan dalam usaha meningkatkan lagi ‘check and balance’,” kata Pegawai Khasnya, Joyce Chow dalam satu kenyataan, hari ini.

Delegasi DNS turut dijemput S Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Nanyang Technological University untuk bercakap pada sesi dialog bertajuk ‘Masa Depan Ekonomi dan Politik Selangor’.

Hannah Yeoh, Dr Idris Ahmad (Ijok – PKR), Saari Sungib (Hulu Kelang – PAS), R Rajiv (Bukit Gasing – DAP) dan Kamarol Zaki (Sungai Air Tawar-BN ) bercakap berkenaan isu politik dan ekonomi semasa Selangor.

Terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kerajaan Tempatan, Pejabat Tanah dan Pembasmian Kemiskinan, delegasi turut melawat Ibu Pejabat Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB), Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Lembaga Tanah Singapura (SLA) dan Majlis Perbandaran Ang Mo Kio.

“Semua amalan terbaik agensi Singapura itu akan dibentang di DNS sebagai cadangan kepada Kerajaan Negeri. Diharap usaha ini dapat mengukuhkan kedudukan DNS sebagai badan perundangan utama di Malaysia,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.