Categories
NASIONAL

Azmin: Perkukuh Pakatan hadapi PRU-14

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 JUN: Tindakan sesetengah pihak terlalu menumpukan usul PAS keluar Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa dibentangkan di Dewan Ulama PAS semalam dilihat tidak wajar.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, ini berikutan pihak terbabit sepatutnya turut meneliti ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

muktamar pas“Tuan guru berulang-kali menunjukkan komitmen beliau selaku Presiden PAS dan menggunakan muktamar ini supaya seluruh kepimpinan dan anggota memahami keperluan PAS meneruskan perjuangan melalui Pakatan atas kaedah tahaluf siasi.

“Sementara itu kita hormati pandangan ketiga-tiga dewan, Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama.

“Ini proses demokrasi sesebuah parti yang kita kena hormat dengan usul dibentangkan dan akhirnya ucapan dasar Presiden sebagai ketua parti mencorakkan masa depan hala tuju parti dan PR. Ini harus dilihat positif dan bertanggungjawab semua pihak,” kata Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin turut yakin hubungan ketiga-tiga parti dalam Pakatan dapat diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum itu, Abdul Hadi dalam ucapan dasar pada muktamar bertemakan ‘Beristiqamah Hingga Kemenangan’ kali ini, menegaskan PAS terus bersama Pakatan dengan berpandukan hukum tertinggi dalam PAS iaitu al-Quran, Hadis, Ijma’, Ulama dan Qiyas.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.