Categories
SELANGOR

Cabaran besar ubah persepsi Mahkamah Syariah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Yang Amat Arif Dr Mohd Na’im Mokhtar menganggap pelantikannya selaku Ketua Hakim Syarie Selangor baharu sebagai cabaran untuk memastikan misi serta visi Jabatan Kehakiman Syariah dicapai.

Menjadi antara Ketua Hakim termuda dalam sejarah menguatkan lagi semangat beliau untuk memartabatkan Mahkamah Syariah Selangor pada kedudukan tertinggi.

DR HAJI MOHD NAIM BIN HAJI MOKHTAR ,KETUA HAKIM SYARIE NEGERI SELANGOR“Antara cabaran bakal dihadapi adalah bagaimana mengatasi persepsi negatif yang wujud dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap Mahkamah Syariah.

“Untuk tujuan itu saya bersama seluruh kakitangan jabatan memberikan penerangan serta penjelasan mengenai fungsi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

“Saya percaya banyak persepsi negatif ini terbina atas salah faham,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum dilantik menjadi Ketua Hakim Syarie, Mohd Na’im merupakan Ketua Hakim Syarie termuda adalah Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Berusia 47 tahun, beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pernah dilantik sebagai Malaysian Cheavening Visiting Fellow Oxford University, United Kingdom bagi tahun2008/2009 dan Visiting Fellow di Harvard Law School, Harvard University, Amerika Syarikat.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) dari University of London, United Kingdom, Diploma dalam Undang-Undang Syariah dan Amalan serta Diploma dalam Pentadbiran dan Kehakiman Islam dari UIAM dan Doktor Falsafah (PhD) Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Memulakan kerjaya sebagai Pensyarah Undang-Undang di UIAM pada tahun 1990 sehingga 1997, Mohd Na’im kemudiannya mendapat tauliah sebagai Peguam Syarie di Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan serta Peguambela dan Peguamcara Malaysia pada 1997 hingga 1998.

Pada 1998, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling hingga 2001 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari 2001 hingga 2003.

Beliau juga pernah dilantik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai pegawai penyelidik dari tahun 2003 hingga 2005.

Mohd Na’im pernah berkhidmat sebagai Pendakwa Syarie Kanan di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan antara 2007 hingga 2008 selain menjadi pensyarah jemputan di UKM dan UIAM dari tahun 1998 sehingga kini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.