Categories
SENI

CERPEN: Ruang Kubikel Putih

Oleh Hadi Ja’afar

Kami pernah berdua. Bersendiri, berdua. Tanpa sesiapa. Cuma aku, kekosongan dan Paula. Kebiasaannya, takdir suka untuk tidak menselisihkan keberadaan kami berdua pada tebat ruang yang privasi. Namun tidak pada hari itu—ia dengan licik telah berjaya memerangkap aku dan Paula. Di dalam satu ruang kubikel putih empat segi sama.

***

 Isnin, 12 Disember, 2005. Bilik persalinan aktor. 7.30 malam.

Itu Paula. Dan aku di suatu sudut bilik ini yang sedang kalut dengan kehadiran pemain-pemain peran mahu menyalin kostum pentas mereka. Paula sedang duduk di depan meja solek. Dia sudahpun selesai menyarung kostumnya. Dia nampak cantik. Menawan. Dan tenang seperti kebiasaannya.

Pada pementasan ini, Paula memainkan peran seekor burung merak. Aku suka peran itu. Dan juga kostumnya. Sangat cocok dengan tubuh yang menyarungnya. Mungkin sebenarnya aku hanya suka kostum itu apabila ia dikenakan oleh Paula. Mungkin. Kerana mustahil aku akan menyukai kostum itu jika ianya disarung oleh pemain peran yang lain. Mungkin.

Tapi, di pementasan ini Paula bukanlah pemegang watak utama. Malahan dia itu sebenarnya tidak pernah terpilih untuk menjadi yang utama. Waima sebagai understudy pun. Aku tahu ini. Kerana aku selalu ada di setiap kumpulan pementasan yang pernah disertai Paula. Stalker. Ya, mungkin aku seorang stalker. Dan Paula adalah obsesiku. Atau, dia itu sebenarnya, adalah takdirku.

Rabu, 5 Januari, 2000. Bilik kelas lakonan. 10.00 pagi.

‘Naikkan kepala, Paula!’, jerit instruktor. ‘1, 2, 3.. kiri. 1, 2, 3.. kanan. Ke depankan dada awak, Paula! Joseph!!’. Aku betul-betul duduk di situ. Di tepi pintu masuk bilik kelas ini. Berteleku. Konsentrasi mataku hanya pada satu bentuk kejadian. Paula. Di dalam ruang ini, cahaya putih dari lampu kalimantang menyerlahkan lagi keindahan tubuhnya.

Dia dan beberapa rakan kelas yang lain sedang melakukan senam lentik tubuh yang aku kira sebagai asas pergerakan seorang pemain pentas. Mungkin. Entahlah. Aku bukan pernah mempelajari semua ini. Aku di sini hanya untuk Paula. Dan aku harap dia tidak menyedari tujuan kehadiranku ini. Walaupun jauh di sudut hati aku mahu Paula memberi sedikit perhatian kepadaku. Walau sejenak mungkin.

Ah! aku sebenarnya lebih selesa begini. Dan aku rasa Paula juga begitu. Bukankah tersebut di dalam Hagakure tentang betapa cinta yang paling ideal itu, ialah cinta yang tak terucapkan, sampai mati? Entahlah. Mungkin ini satu paradoks. Bagaimana harus bergelar cinta jika ianya tak pernah terucapkan? Entahlah.

Selesai kelas, aku lihat Paula dan rakan-rakannya duduk-duduk santai di satu sudut di dalam bilik ini. Dia baru selesai menukar pakaiannya. Paula selesa dengan hanya bersarungkan jeans dant-shirt. Aku tahu kerana itulah pakaian hariannya ke kelas. Hanya sekali dua aku melihatnya berpakaian dress atau blouse. Itupun yang kurang menonjol rekaannya. Paula manusia simple. Seperti aku. Mungkin kerana itu kami serasi. Iya, walau keserasian itu cuma di dalam anganku sahaja.

Ketika ini, aku melihat Paula mulai bangkit dari duduk-duduknya itu. Dia mengucapkan kata perpisahan pada rakan-rakannya. Aku tahu ini cuma harapan yang bakal tertinggal kosong, namun aku tak berhenti-henti berharap supaya Paula juga akan menyapaku nanti sewaktu melintasi tempat dudukku di tepi pintu ini. Aku masih menunggu. Paula berlalu di hadapanku.

Tapi aku hampa. Dia sedikitpun tidak menoleh ke arahku, apatah lagi mahu menyapaku. Aku terus hampa. Kini, di perkarangan parkir Akademi, aku melihat dia berlalu pergi di dalam sebuah Mercedes W124 berwarna biru. Selamat tinggal, Paula. Bisikku pelan-pelan. Dan cahaya putih dari dalam bilik kelas itu pun tiba-tiba terus lenyap.

Jumaat, 26 Oktober, 2012. Bumbung Apartmen Rajawali. 8.30 malam

Keramaian. Pesta. Parti. Atau apa-apa yang kau mahu gelarkan pada suasana kesesakan manusia seperti ini. Aku mahu gelarkan ia sebagai kerancuan jiwa-jiwa. Muzik. Arak. Berdansa. Muzik. Bersenggolan. Arak. Berkucupan. Muzik. Arak. Bersetubuhan. Kecewa. Mati. Namun kesucian itu hanya milik Paula.

Aku mengakui, walau aku lebih selesa melihatnya berpakaiankan hanya jeans dan t-shirt, malam ini sebentuk tubuh itu yang tersarung sepotong dress berwarna putih, berkasut tumit tinggi, bersama rambut perang gelap yang disanggul kemas menunjuk angkasa itu adalah definasiku pada seorang bidadari. Syurga! Itu jerit batinku yang rana. Aku lihat dia kini sedang bersendirian di sana.

Di tebing bumbung apartmen ini yang dipagari jeriji besi hitam. Inilah masanya! Sergah separuh dari jiwaku. Iya, inilah masanya. Aku melihat ke kiri dan ke kanan. Aku memulakan langkah. Di dalam cemas. Jantungku menumbuk-numbuk kencang. Aku aturkan langkahku mengikut separuh tempo degupannya. Dari sela-sela manusia mabuk itu aku mengintip-intip kelibatnya. Muzik, hingar-bingar suara dan bau masam nafas manusia yang bersilangan makin mencelarukan perasaan. Paula masih lagi di situ.

Semakin hampir!

Jumaat, 26 Oktober, 2012. Perkarangan parkir Apartmen Rajawali. 9.45 malam

Tanganku rasa basah. Melekit. Bau hanyir. Darah! Jeritku. Aku membuka mata. Satu cahaya putih yang memancar terang keluar dari sebuah pintu. Cuma aku tak pasti itu pintu apa. Apakah pintu dari lobi apartmen? Mungkin. Yang pasti, mataku agak berpinar dan tubuhku rasa sengal-sengal. Aku tak pasti apa sebenarnya yang terjadi. Di sekeliling aku dapat mengesan suasana khalayak yang panik dan cemas.

Bagaimana aku boleh berada di sini? Dan darah di tanganku. Darah siapa? Parti. Arak. Dansa. Mabuk. Muzik. Sepi. Kecewa. Tebing bumbung. Jeriji besi hitam. Dress putih Paula. Paula!!

Di hadapanku satu silhuet lembaga kini sedang menuju ke arah cahaya terang tersebut. Dari sela-sela kemilau, aku mengecam pakaian yang tersarung pada lembaga tersebut. Tompokan besar darah membasahi sebahagiannya. Sebelum masuk ke dalam pintu cahaya itu, lembaga itu menoleh ke arahku dan tersenyum. Paula!! Bersama kesedaranku, jeritanku itu pun dengan lirih tersayup-sayup berjauhan, sebelum lenyap seluruhnya ditelan kegelapan.

***

Ruang kubikel putih.

Sunyi. Cahaya putih yang sangat terang. Ada sebuah pintu di satu sudut. Tertutup. Aku melihat Paula di hadapanku. Bercangkung. Hanya kami berdua. Wajahnya sedikit resah dan celaru.

‘Mahu rokok?’, tanyaku padanya. Paula hanya mengangguk. Aku hulurkan sebatang dari sekotak rokok kretek di tanganku. Paula mengambilnya dan langsung diselitkan ke bibirnya yang merah pucat itu. Masih menawan. Dress putihnya itu masih tersarung. Bersih. Tidak ternampak sedikitpun kekotoran. Tak ada bau hanyir.

Aku menyalakan rokoknya. Paula menyedut asapnya dengan sedikit kerakusan. Cemas mungkin. Kemudian dia terbatuk-batuk. Mukanya kemerahan dan terkerut-kerut menahan perit di tekak. Aku tertawa, dengan spontan. Paula melihat aku. Kemudian dia pun ikut tertawa. Dan kami berdua tertawa dengan galak sekali tanpa apa-apa kerisauan.

Seketika, pintu ruang kubikel terbuka. Dan cahaya kuning jernih yang begitu memancar pun menerjah masuk dan memecahkan zarah-zarah cahaya putih ruang ini. Tapi tidak ada sesiapa yang masuk ke dalam. Hanya tiba-tiba, terdengar satu jeritan suara yang tidak asing di telingaku memanggil,

‘Seterusnya!’

Leave a Reply

Your email address will not be published.