Categories
WANITA & KEBAJIKAN

Antara kepompong BR1M dan mandiri HIJRAH

Oleh MOHD EZLI MASHUT

Di mana-manapun, modal antara masalah paling besar buat kebanyakan usahawan tempatan memulakan mahupun memperkembang operasi perniagaan.

Namun, sebahagian pihak mengambil kesempatan hingga timbul anasir negatif seperti ceti haram dan ‘Ah Long’manakala pinjaman melalui bank mahupun TEKUN, perlu melalui remcam karenah.

Lain ceritanya di Selangor, program HIJRAH menjadi penawar buat usahawan tempatan melonjak operasi dari skala kecil kepada lebih besar.

Prosedurnya tidak rumit, bahkan mesra peminjam. Cukup dengan mengisi borang tertentu, dan kelulusan segera diperoleh asal sahaja peminjam bukan dari kalangan yang disenarai hitam.

Melalui suntikan peruntukan RM100 juta daripada Kerajan Selangor pimpinan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, peniaga boleh membuat pinjaman sehingga RM50,000.

Syaratnya juga tidak sesukar mana, malah proses bayaran pinjaman juga mesra dan tidak membebankan tanpa perlu kerisauan ‘dihambat’ seperti kelaziman organisasi kewangan lain.

Ini sama sekali berbeza dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ia ibarat panadol – melegakan sakit dengan cepat, tapi singkat. Kemudian, telan lagi untuk melegakan kesakitan yang berulang-ulang. Tidak pula sesekali menyembuhkannya.

Malah, BR1M tiada hala tuju dalam mengangkat taraf sosio ekonomi rakyat, sebaliknya terdedah kepada salah guna dan mudah tergelincir dari matlamat asal.

Paling buruk, BR1M gagal mendidik rakyat untuk berdikari dan jumlahnya pula hanya cukup makan, jauh sekali untuk memula mahupun memperkembang perniagaan.

Sejak dilancarkan pada 2012 sehingga kini, tiada laporan kemajuan diumum Kerajaan Persekutuan dalam melebar kelas menengah, sebaliknya penerima BR1M makin ramai tiap tahun.

Mengikut perangkaan, seramai 6.4 juta orang pada 2015 menerima bantuan itu tetapi soalnya wujudkan peluang untuk mereka keluar dari kepompong BR1M?

Sedar atau tidak, Kerajaan Persekutuan antara 2012 hingga 2015, hanya menabur BR1M berjumlah RM13 bilion sedangkan hasilnya entah ke mana? Rakyat kekal miskin, tidak langsung menganjakkan mereka ke kelas menengah.

Lalu, mereka terus-terusan dihimpit beban kenaikan kos sara hidup saban hari ditambah kesan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Tidak hairanlah Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengkritik BR1M yang dianggapnya sekadar mencipta sindrom kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

Lainlah Selangor. Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh mahu mengangkat golongan miskin kepada kelas masyarakat yang lebih tinggi biarpun belanjanya bukan sedikit.

Sekalipun, ia menjadi bukti konkrit Kerajaan Selangor untuk menjadikan rakyatnya berdikari, seterusnya tidak lagi dibelenggu kemiskinan. Bukan sekadar ikan, bahkan umpan dan kail, malah pancing (joran) juga diberi.

Betapa tidak, HIJRAH muncul sebagai satu-satunya institusi yang menawarkan pinjaman, tabungan dan pelaburan dalam satu urus niaga selain menawarkan beberapa perkhidmatan lain.

Ia bukan sekadar membantu peniaga tetapi meluaskan perniagaan sekaligus menjana perkembangan ekonomi negeri. Ia juga merancakkan kelahiran usahawan baharu dan mencipta peluang pekerjaan.

Dengan sasaran 56,000 peserta bakal menerima manfaat melalui 56 DUN, HIJRAH dijangka mengupaya peniaga kecil untuk memperkembang bakat keusahawanan.

Seterusnya, ia menjadi pemacu bagi mencapai keadilan sosial dan pengagihan yang adil dan saksama, sekaligus membasmi kemiskinan di negeri ini.

Ini kerana negara memerlukan sistem yang mampu menyerlahkan potensi rakyat untuk membantu masyarakat lain. Bukan seperti BR1M yang langsung tidak mencipta sebarang peluang pembangunan ekonomi.

Malah, kita wajar mempelajari kejayaan sistem Bank Grameen yang diperkenalkan Profesor dari Universiti Chittagong, Dr Muhammad Yunus di Bangladesh yang mewujudkan ‘Bank untuk rakyat miskin’.

Bank Grameen adalah sebuah organisasi kredit mikro yang dimulai di Bangladesh yang memberi pinjaman kecil kepada orang kurang mampu tanpa cagaran.

Ia berdasarkan idea betapa orang miskin memiliki kemampuan yang boleh diperkasa jika menggunakan sistem yang betul.

Model itu menjadi inspirasi kepada 40 negara di seluruh dunia termasuk Bank Dunia yang mengiktirafnya sebagai jalan membantu penduduk miskin dan penduduk luar bandar.

Jelas, berbanding BR1M, ia ibarat jauh panggang dari api. Akan tetapi, matlamatnya jika tidak sama tapi banyak menyerupai konsep HIJRAH – suatu ikhtiar untuk membangunkan usahawan kecil sebagai strategi jangka panjang membasmi  kemiskinan, bahkan melonjak kekayaan.

Bukan mustahil, usahawan kecil hari ini, suatu hari kelak membina empayar perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa, dengan HIJRAH sebagai batu loncatan awal.

Leave a Reply

Your email address will not be published.