Categories
PENDIDIKAN

Derita malim gunung dan kelibat delegasi Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM
(yang mengikuti delegasi Selangor ke Sabah)

Matanya bergenang. Barangkali wajah rakan seperjuangan terlayah di kotak fikiran.

Hanya 30 saat tempoh gegaran gempa bumi itu. Sekejap tetapi memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada warga Sabah tetapi seluruh dunia.

Lebih menyayat hati, ia mengorbankan nyawa empat rakan Ridzuan Kauhinin dan 14 pendaki lain.

‘Donkey ear’- mercu tanda Gunung Kinabalu ranap sekelip mata, melontar bongkahan, juga serpihannya berterbangan mencari mangsa.

Tiada lebih penting bagi juruarah, malim gunung dan ahli radio amatur kecuali mengeluarkan pendaki ke tempat selamat. Namun, misi itu bukan mudah.

Bentuk muka bumi dan gegaran susulan cukup mencemaskan. Tambah menjerihkan, Ehing Sakumbang mendukung pelajar Singapura berusia 12 tahun yang cedera. Langkahnya longlai dek letih dan lapar.

Tidak jauh dari kaki gunung, Ridzuan Kauhinin mundar-mandir dan resah. Beliau bernasib baik kerana tiada kejadian tak diingini berlaku ke atas 15 pendaki bersamanya.

Beliau diarah berpatah balik selepas gegaran kuat gempa bumi. Kini, hatinya cemas. Setiba di rumah, tiada seorangpun kelibat rakan malimnya.

Beberapa kali menghubungi rakannya. Tidak berjawab. Entah selamat, entah tidak. Akhirnya Ridzuan membulatkan tekad, bingkas mencapai peralatan mendaki.

Selepas dua setengah jam, beliau tiba di kilometer 8.8 pada paras ketinggian hampir 3,000 meter di Willosa.

Lega bukan kepalang menyaksikan Ehing walau tidak bermaya tetapi selamat. Selepas Ehing mengalas perut dengan bekalan makanan dibawanya, mereka menuruni gunung.

Ridzuan mengambil alih tugas memikul kanak-kanak itu hingga ke Layang-Layang Hut. Selepas itu, pasukan Ridzuan dan Ehing mendapat pertolongan beberapa teman dari Laban Rata.

Hari menghibakan 

Hari kedua, Ridzuan, Ehing dan lebih 100 malim lain membantu pasukan keselamatan mencari dan menyelamat pendaki yang masih hilang.

Di Pin 4 atau 5, Ridzuan jadi lemah longlai. Mayat bergelimpangan di sana sini. Air mata tidak dapat ditahan-tahan. Tambah hiba, satu daripadanya jasad itu ialah rakan baiknya, Robbie Sapinggi.

Ceritanya terhenti. Ridzuan kehilangan kata-kata. Kami cuba berkongsi hiba. Tidak dapat dibayangkan tiap detik cemas yang dilalui mereka.

Sabah 2

Sebenarnya, kami delegasi Kerajaan Selangor bertandang untuk menghulur sedikit bantuan seadanya.

Dan kami sedar, bantuan RM150,000 tidak sesekali akan mengembalikan mereka yang sudah tiada, jauh sekali. Yang berlaku, sudah berlaku. Tidak boleh diubah lagi.

Pemberian sumbangan juga tidak akan mengembalikan senyuman anak kehilangan bapa, ibu kehilangan anak, isteri kehilangan suami dan mereka yang kehilangan adik beradik dan teman bergurau.

Kami anggap kehadiran kami beserta sumbangan itu tiada ada apa-apa erti berbanding mereka yang kehilangan serba serbi termasuk kehilangan jiwa.

Akan tetapi, kami silap. Termalu sendiri.

Sabah 1

Rupa-rupanya, walau bantuan itu diterima penuh syukur tetapi paling mereka hargai ialah kehadiran orang luar seperti kami yang menjengah saat-saat mereka dirundung malang.

Pada mereka, kehadiran kami cukup bermakna. Apatah lagi bersama seorang pemimpin Kerajaan Selangor. Ia melangkaui wang ringgit yang kami dibawa sebagai bantuan.

Kecekapan Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) bertemu keluarga mangsa tambah mengukuhkan ikatan persaudaraan antara kami. Juga rakyat Sabah dan Selangor.

Benarlah, kesempatan bertemu Ridzuan, Ehing, Jessica Sikta (tunang Valerian Joannes), Sahiah Boliking (ibu mendiang Ricky Masirin), Biker Sapanggi (adik Robbie Sapanggi) benar-benar membangkitkan keinsafan.

Perkenalan singkat itu benar-benar mengajar peri pentingnya semangat kemanusiaan yang akhirnya pasti menanggalkan segala perbezaan – warna kulit, agama, mahupun idealogi politik.

Leave a Reply

Your email address will not be published.