Categories
SELANGOR

Kembalikan beruang ke habitat asal

Oleh: NORHAYATI UMOR

BESTARI JAYA, 1 JUN: Tindakan sedang diusahakan Kerajaan Negeri bagi membawa kembali beruang jenis matahari yang terlepas April lalu ke habitat asalnya di Hutan Simpan Sungai Karang.

Beruang betina itu ditemui penduduk selepas berkeliaran di sekitar Kampung Batu 4, Sepintas sebelum ditembak dengan pelali, April lalu.

Beruang MatahariExco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata beruang itu kini diberikan rawatan dan pemantauan terlebih dahulu sebelum dihantar ke Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu.

Katanya beliau mahu ia dikembalikan ke tempat asal kerana menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memelihara haiwan itu.

“Pembangunan pesat yang dekat dengan hutan simpan itu mungkin menyebabkan haiwan itu keluar mencari perlindungan selama hari.

“Jadi kita mahu ia dipulangkan kembali ke tempat asalnya untuk diberikan perlindungan dari pihak yang bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa di sini, hari ini.

Katanya beliau dalam usaha bekerjasama dengan pihak terbabit memastikan perkara sedemikian tidak berulang kembali.

Sebelum ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa mengambil masa selama lima hari bagi menjejak seekor beruang yang dilaporkan tersesat sejauh kira-kira 50 Kilometer.

Penduduk turut mengadu pernah terserempak dengan beruang seberat 70 kilogram itu beberapa kali di sekitar kawasan sawah padi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.