Categories
SELANGOR

MBI salur RM35,000 untuk mangsa gempa bumi Nepal

Oleh: AFEEQA AFEERA

KATHMANDU, 3 JUN: Sejumlah RM35,000 diperuntukkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal, pada April lalu.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI, Mohd Jaafar Farudin Md Ali, berkata bantuan itu diberikan dalam bentuk keperluan makanan serta zink bagi membaiki kediaman penduduk.

Katanya, ia selaras dengan misi kebajikan MBI dalam membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira sempadan, kaum atau agama.

IMG_20150602_173152“Kita sangat menitikberatkan kebajikan masyarakat yang memerlukan walaupun saya ditugaskan untuk menjaga atau memberi tumpuan kepada Selangor khususnya, namun MBI mengorak langkah lebih jauh mengadakan misi kemanusiaan.

“Ini adalah kali pertama kita anjurkan misi kebajikan dan dakwah luar daripada Selangor dan Malaysia. Diharapkan ia mampu berjalan lancar pada masa akan datang,” katanya kepada Selangor Kini.

Misi Bantuan Kemanusiaan ke Nepal itu dianjurkan MBI dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia Society yang mempunyai rangkaian di seluruh dunia.

Antara kawasan yang dilawati adalah Bhaktapur, perkampungan Kaleswor dan daerah Lalitpur.

IMG_20150602_173239Pada masa sama, Jaafar berkata, misi berkenaan tidak hanya mementingkan soal kebajikan tetapi turut diselitkan unsur dakwah.

Katanya, penduduk yang bersedih atas musibah diberi kekuatan dari sudut tarbiyah supaya mereka dapat mengenal Islam dengan lebih dekat.

“Semoga dengan kehadiran kita, mereka boleh lihat bagaimana solat jemaah dilakukan dan beramah mesra tanpa rasa kekok.

“Saya berharap MBI akan lebih memberi tumpuan untuk membuktikan kita bukan hanya menumpukan kepada urusan duniawi atau keuntungan sahaja tetapi turut mengagihkan keuntungan kepada mereka yang sedang diuji dengan musibah,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.