Categories
KENYATAAN MEDIA

Ops cegah denggi diperhebat

Oleh: Dr Daroyah Alwi

Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin tentang peningkatan kes Denggi yang berlaku sebanyak 9.6% di Selangor sejak 2 minggu lepas di mana jumlah kes mingguan pada minggu ke 21 iaitu bagi tempoh 24 hingga 30hb Mei adalah sebanyak 1,153 kes berbanding dengan hanya 1,052 kes minggu sebelumnya.

Dari Januari hingga 30hb Mei 2015, jumlah kumulatif kes Denggi di negeri Selangor adalah 27,282 kes iaitu peningkatan sebanyak 36.8% (7,345 kes) berbanding dengan 19,937 kes bagi tempoh masa yang sama tahun 2014.

Manakala untuk kematian Denggi pula, bagi tempoh yang sama sebanyak 71 kematian Denggi dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 153% ( 43 kes ) berbanding 28 kematian pada tahun 2014.

DENGGI GRAFIKOleh yang demikian, untuk tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan melancarkan Operasi Semburan Bersepadu “Cegah Denggi (Asap & Musnah)” khususnya di empat (4) daerah yang mempunyai beban kes denggi yang tinggi iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang mulai 8hb Jun – 11hb Jun 2015.

Ini meliputi tujuh (7) buah kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Kajang, Ampang Jaya dan Selayang.

Operasi ini diselaraskan di peringkat Negeri oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Tindakan bersepadu ini melibatkan perkongsian sumber termasuk peralatan, logistik dan sumber manusia.

Operasi Semburan Bersepadu kali ini akan melibatkan seramai hampir 900 orang anggota, 350 mesin semburan ruang thermal dan 40 buah mesin ULV. Disasarkan sebanyak 171 lokaliti wabak untuk dilakukan semburan sepanjang tempoh operasi ini dijalankan.

Operasi Semburan Bersepadu ini akan dilancarkan pada 8 Jun 2015 di kawasan Subang Jaya. Sebanyak 39 lokaliti wabak disasarkan pada hari tersebut dengan liputan 34% daripada keseluruhan 116 lokaliti wabak yang dilaporkan.

Pada hari kedua, 9 Jun 2015, kekuatan pasukan sedia ada akan diagihkan kepada 2 kawasan PBT iaitu Petaling Jaya dan Klang. Bagi kawasan Petaling Jaya, disasarkan 26 lokaliti wabak iaitu 27% liputan daripada keseluruhan 97 lokaliti wabak dilaporkan.

Manakala bagi kawasan Klang, disasarkan 18 lokaliti wabak iaitu 41% liputan daripada keseluruhan 44 lokaliti wabak.

Pada hari ketiga, 10 Jun 2015, kawasan PBT yang akan dibuat liputan adalah Shah Alam dan Selayang. Bagi kawasan Shah Alam, disasarkan 23 lokaliti wabak iaitu 53% liputan daripada keseluruhan 43 lokaliti wabak dilaporkan.

Manakala bagi kawasan Selayang, disasarkan 14 lokaliti wabak iaitu 41% liputan daripada keseluruhan 34 lokaliti wabak.

Pada hari terakhir, 11 Jun 2015, kawasan PBT yang akan dibuat liputan adalah Kajang dan Ampang Jaya. Bagi kawasan Kajang, disasarkan 27 lokaliti wabak iaitu 14% liputan daripada keseluruhan 192 lokaliti wabak dilaporkan.

Manakala bagi kawasan Ampang Jaya, disasarkan 26 lokaliti wabak iaitu 42% liputan daripada keseluruhan 62 lokaliti wabak.

Strategi utama kawalan denggi di Negeri Selangor ialah penekanan kepada kebersihan dan pencegahan pembiakan nyamuk Aedes setiap masa dan ini menepati slogan ‘Kebersihan Setiap Hari, Setiap Masa & Di Mana Jua’ program pencegahan dan kawalan denggi Negeri Selangor.

Kejayaan strategi ini memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak terlibat termasuk agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, pihak swasta, pertubuhan sukarelawan dan masyarakat tempatan.

* DR DAROYAH ALWI adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.