Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Presiden KEADILAN sempena Hari Gawai

Bersempena dengan Perayaan Hari Gawai yang disambut pada 1 dan 2 Jun ini, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Gawai bagi rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Dayak yang merangkumi pelbagai etnik.

Di Sarawak ada 25 kaum etnik Dayak terutamanya kaum Iban (atau dikenali Dayak Laut dahulunya) yang merupakan majoriti, Bidayuh (Dayak Darat), Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah dan Murut dan kaum-kaum etnik yang lain-lain.

pkrMasyarakat Dayak di Kalimantan Barat mengelar perayaan ini sebagai Gawai Padi untuk meraikan tamatnya musim menuai padi dan menandakan permulaan musim penanaman padi yang baru.

Gawai dalam pengertiannya adalah hari kesyukuran kepada tuhan yang mengurniakan rezeki. Dengan tuaian yang baik setiap tahun maka hari Gawai disambut bagi memanjat kesyukuran.
Hari ini perayaan Hari Gawai harus dievolusi dengan kepelbagaian kaum dan budaya untuk menghargai sumber ekonomi.

Sehubungan dengan itu, pada pandangan KEADILAN, pemimpin seharusnya mempunyai tanggungjawab moral untuk berusaha mensejahterakan rakyat dari sudut ekonomi, bukannya membebankan mereka dengan bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang semakin hampir, KEADILAN mengulangi komitmen kepada Deklarasi Kuching 2012 dan Pelan Borneo 7 Perkara 2014 untuk berusaha mengembalikan autonomi Sarawak mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil, menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat, menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dari 5% ke 20%, dan berusaha membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.

Kepada rakyat Sarawak diucapkan “Ngajih ka kita gayu guru, gerai nyamai, lantang senang nguan menua” (Mudah-mudahan kita beroleh kesejahteraan, kesihatan, nasib yang baik dan hidup bahagia aman makmur di tanah air).

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.