Categories
NASIONAL

Skandal MARA: SPRM digesa jalan siasatan terperinci

KUALA LUMPUR, 25 JUN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut menjalankan siasatan terperinci berhubung pendedahan rasuah media Australia yang mengaitkan anak syarikat Majlis Amanah Raya (MARA), MARA Inc.

Dalam satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkata ia berikutan dakwaan itu membabitkan penggubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah di pihak atasan Mara.

1435031211012“SPRM perlu segera memulakan siasatan ke atas skandal urus niaga hartanah ini termasuk semua urus niaga perniagaan yang berkaitan dengan Mara Inc.

“Semua transaksi yang dijalankan oleh syarikat terbabit perlu disiasat secara terperinci,” katanya.

Mereka berkata aktiviti rasuah dan penggubahan wang haram itu juga rumit untuk dirungkaikan hingga menyebabkan portal berita Australia, The Age mengambil masa sehingga lapan bulan bagi menyiasat.

Dalam laporan itu, The Age turut mendedahkan Mara Inc terlibat dalam aktiviti rasuah melalui pembelian bangunan di Melbourne dengan harga RM65 juta berbanding harga pasaran RM52 juta.

Turut dinyatakan, RM13.7 juta adalah habuan rasuah kepada pemaju dan pegawai MARA terlibat.

“Sama seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal kewangan lain yang melibatkan penggunaan dana awam, skandal Mara ini sekali lagi membuktikan ada asas tidak baik merentasi agensi kerajaan Malaysia.

“Jika SPRM tidak bertindak bersungguh-sungguh dan tegas, kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan akan terus terhakis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pihak yang terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan jika didapati bersalah.

Katanya amat tidak wajar bagi sebuah institusi awam melibatkan diri dalam urusniaga hartanah bernilai besar sedangka ia boleh dimanfaatkan untuk pelajar dan usahawan tempatan.

“Sekiranya tuduhan ini tidak benar, kita menjangkakan agar MARA dan individu terlibat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduh bagi mempertahankan nama baik mereka yang tidak ternilai,” katanya.

Hari ini, Polis Persekutuan Australia dilaporkan mengadakan serbuan di Melbourne berhubung pembelian hartanah yang didakwa dikaitkan dengan ahli politik Malaysia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.