Categories
SELANGOR

Naik taraf Stadium Hoki PJ siap Disember

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 25 JUN: Stadium Hoki Petaling Jaya bakal menerima nafas baru menerusi projek naik taraf prasarana kemudahan sukan itu awal bulan hadapan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata stadium tersebut mampu digunakan sepenuhnya hujung tahun ini.

Stadium Hoki“Kontraktor baru dilantik oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerja membaikpulih mengambil masa empat bulan dari tarikh mula tugas.

“Kita jangka hujung tahun ini, stadium tersebut boleh digunakan sepenuhnya malah mampu menjadi vanue untuk sebarang pertandingan,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sejumlah RM2.5 juta bagi membaikpulih Stadium Hoki Pandamaran Klang dan Stadium Hoki Petaling Jaya.

Kedua-dua kemudahan sukan itu dilaporkan berada dalam keadaan teruk dan tidak boleh digunakan untuk latihan.

“Stadium hoki Pandamaran memerlukan kerja baikpulih yang banyak berbanding di Petaling Jaya dan kita masih belum memutuskan tender kepada mana-mana kontraktor ekoran terdapat sedikit kesulitan sebelum ini.

“Bagaimanapun, tawaran tender baik pulih masih dibuka,” katanya.

Oktober lalu, Amirudin telah melawat Stadium Hoki Pandamaran bagi meninjau sendiri kerosakan dan keperluan yang perlu diberi perhatian dalam memastikan kemudahan sukan itu kembali berfungsi.

Stadium berusia 20 tahun itu memerlukan kerja menambahbaik kemudahan, bumbung, kerusi dan karpet padang.

Sejak dibina pada 1984, Stadium Hoki Pandamaran hanya berganti karpet padang pada 1998.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.