Categories
SELANGOR

Paragliding rancakkan pelancongan & ekonomi

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 1 JUN: Sokongan berterusan diberikan Kerajaan Negeri bagi merancakkan sukan paragliding seterusnya memajukan sektor pelancongan dan sumber ekonomi tempatan.

Exco Pelancongan, Elizabeth Wong berkata keyakinan itu bersandarkan kepada kesan positif diterima setelah Bukit Jugra menjadi lokasi kejohanan Jugra Paragliding Accuracy Championship sejak 2006.

jugra 1“Sukan paragliding memberikan kesan positif dengan menyumbang pendapatan kepada operator perhotelan, restoren dan homestay.

“Penganjurannya banyak mempromosi produk pelancongan yang ada di Kuala Langat seperti Istana Bandar, Makam DiRaja Bukit Jugra, Muzium Insitu dan Pantai Morib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jugra International Paragliding Accuracy Championship (JIPGAC) 2015 di Pusat Paragliding Bukit Jugra, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) , Mohd Azhar Mohamed Ali dan Pengurus Besar Tourism Selangor Noorul Ashikin Mohd Din.

Kejohanan JIPGAC 2015 inisiatif MDKL mempromosi sukan lasak dan pelancongan berkaitan sejarah sekitar wilayah seliaannya dengan dokongan Tourism Selangor.

JIPGAC 2015 menyaksikan penglibatan 55 peserta dari Vietnam, Korea Selatan, Filipina, Jepun, Singapura, Hong Kong, Indonesia, Switzeland dan juga Malaysia berentap memburu tiga kategori dipertandingkan.

“Sukan lasak ini mendapat sambutan hebat dari negara luar dan ratusan peminat tempatan yang datang bagi menyaksikan acara.

“Sudah tentu kesempatan ini membolehkan mereka melawat produk pelancongan yang ada selain meningkatkan ekonomi setempat dengan membeli belah dan makan di sini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.