Categories
SELANGOR

Bersihkan rumah sebelum balik raya

Oleh: NAEEM RAFFI

SUBANG, 15 JUL: Masyarakat perlu memastikan keadaan rumah masing-masing berada dalam keadaan bersih sebelum pulang bercuti menyambut Aidilfitri.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata usaha mengekang wabak denggi tidak akan berhasil tanpa peranan setiap masyarakat.

“Denggi perlukan usaha berpanjangan dari semua pihak dan bukan mampu selesai dengan satu operasi pemusnahan.

DENGGI GRAFIK“Kita masih perlukan kerjasama semua penduduk. Ia sepatutnya menjadi tabiat dalam kalangan masyarakat untuk memastikan kawasan kediaman mereka bebas dari aedes.

“Selagi penduduk tidak bersama menjalankan tanggungjawab ini, selagi itu kita tidak mampu menyelesaikan masalah denggi ini biarpun kita laksana pelbagai program,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada statistik kes demam denggi yang meningkat selepas musim perayaan ekoran kegagalan masyarakat memastikan kediaman bebas daripada penularan nyamuk aedes.

Justeru, Hannah menyeru masyarakat untuk tidak mengabaikan peranan penting mereka dalam penjagaan kebersihan persekitaran agar bebas daripada sarang pembiakan Aedes.

“Mereka yang bercadang pulang beraya perlu memastikan tiada air bertakung seperti dalam longkang, pasu bunga dan pelapik pinggan.

“Bekas simpanan air seperti kolah dan tangki perlu dimasukkan ubat pembunuh jentik-jentik (Abet) atau di tutup kemas,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.