Categories
NASIONAL

FOMCA: Susu formula patut ada subsidi & bebas GST

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 JUL: Kerajaan Persekutuan patut menyediakan subsidi bagi susu formula bayi yang didakwa sering mengalami kenaikan harga.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata syor itu dibuat selepas banyak rungutan dan aduan mengenai kenaikan harga barangan itu di pasaran.

Katanya, langkah itu juga bagi membantu golongan kurang berkemampuan meringankan beban ekoran kenaikan harga makanan bayi itu.

susu“Isu ini jarang ditimbulkan mengenai atau mungkin terlepas pandang iaitu berkenaan susu formula bayi.

“Bagi golongan ibu bapa kenaikan harga susu bayi agak membimbangkan, saya syorkan ia diberikan subsidi khas dan turut dijadikan barangan kawalan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Yusof mendakwa Kerajaan Persekutuan pernah memberikan subsidi susu formula bayi di era 1970-an hingga 80an.

“Namun, ia tidak diteruskan saya kurang jelas mengapa, jadi wajar sekiranya ia diperkenalkan semula bagi membantu kesan kenaikan harga barangan ketika ini,” katanya.

FOMCABeliau berkata kebanyakan pengguna juga tidak menyedari bahawa susu formula bayi yang berkadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hanya untuk di bawah umur 36 bulan.

“Namun begitu, FOMCA merasakan bahawa susu formula bayi ini merupakan keperluan untuk tumbesaran bayi tidak kira pada peringkat umur berapa sekalipun.

“Jadi diharapkan kerajaan juga dapat mengkaji semula pelaksanaan GST ke atas produk berkenaan dan menjadikannya sifar GST ke atas semua peringkat umur dan bukannya hanya untuk 36 bulan ke bawah sahaja,” katanya.

Sebelum ini, pengguna Haslina Sulaiman, 42, mendakwa harga susu formula yang kebanyakannya diimport meningkat terlalu mahal untuk golongan berpendapatan rendah sepertinya.

“Sepengetahuan saya, kerajaan tidak mengawal harga susu formula ini. Saya percaya, ramai lagi golongan ibu bapa di luar sana yang setuju dengan pendapat ini.

“Dikhuatiri sekiranya pihak pengeluar dan pengimport atau pengedar dibiarkan menaikkan harga sesuka hati, ia menyebabkan ibu bapa berpendapatan sederhana dan rendah terpaksa memilih susu yang kurang berkualiti untuk bayi mereka.

“Jika diberi susu kurang berkualiti, sudah pasti akan menjejaskan tumbesaran bayi atau kanak-kanak itu” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap jika Kerajaan Persekutuan memberi subsidi khas kepada mereka yang berpendapatan rendah untuk membeli susu bayi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.