Categories
NASIONAL

Kadir Jasin: Tak pelik jika Najib diheret ke mahkamah

SHAH ALAM, 8 JUL: Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan bukan sesuatu yang pelik jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diheret ke mahkamah dengan tuduhan jenayah.

Katanya, hal itu berikutan Najib langsung tidak menafikan wang AS$681 juta (kira-kira RM2.6 bilion) dalam akaun AmBank seperti didedahkan Wall Street Journal.

“Sama ada akaun berkenaan masih cergas, tidak aktif atau sudah ditutup bukan isunya. Persoalannya, Mohd Najib pernah ada RM2.6 bilion dalam akaun itu.

kadir_jasin“Apa susahnya beliau atau AmBank menafikan yang akaun atas nama Mohd Najib itu tidak pernah wujud.

“Lebih utama bukan kewujudan akaun itu tetapi daripada mana datangnya dana terbabit dan apa kegunaannya,” katanya memetik Malaysia Kini.

Bekas ketua pengarang kumpulan NSTP itu menulis demikian di blognya, kadirjasin.blogspot.com hari ini selepas meneliti kenyataan Najib berhubung tuduhan terbabit.

Beliau berkata, Najib hanya menyebut tidak pernah mengambil dana untuk kegunaan peribadi sama ada dari 1MDB, SRC International atau pihak lain.

“Sampai hari ini beliau tidak menafikan bahawa akaun atas nama beliau dengan simpanan AS$681 juta itu pernah wujud, tetapi ditutup tidak lama selepas pilihan raya umum 2013,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan ahli politik terkemuka yang memilih untuk meletak jawatan apabila dikaitkan dengan kes rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

1MDB“Ada yang berakhir di mahkamah dan sebaliknya, tetapi umumnya ahli politik yang terbabit meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau juga membuat kesimpulan itu berdasarkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan pasukan petugas khas yang turut melibatkan Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu.

“Pembekuan enam akaun bank milik pihak yang dipercayai terlibat dengan kes akaun Mohd Najib, pada 6 Julai lalu memberi gambaran mereka tidak mahu berselindung lagi.

“Ia memperkukuhkan lagi bukti bahawa akaun yang didakwa WSJ itu wujud,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.