Categories
NASIONAL

‘Kahwin’ dengan AirAsia lebih baik atau jual Malaysia Airlines – Kadir Jasin

KUALA LUMPUR, 28 Jun : Lebih baik untuk Malaysia Airlines Bhd “berkahwin” dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama ikonik itu berkubur, kata wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin hari ini.

Beliau mengambil perhatian bahawa AirAsia pernah “berkahwin” dengan Malaysia Airlines sebelumnya, merujuk kepada perjanjian pertukaran saham mereka pada 8 Ogos, 2011. Perjanjian itu tidak bertahan lama, ditamatkan lapan bulan kemudiannya.

“Apabila perceraian itu berlaku tidak lama kemudian, Malaysia Airlines semakin teruk. AirAsia dilihat terus berada dalam keadaan ‘gila talak’ kerana diketahui bahawa ia masih berminat dengan Malaysia Airlines,” kata Kadir dalam catatan di laman Facebook beliau.

Oleh itu, adalah lebih baik ‘’berkahwin’’ dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama itu berkubur, katanya.

“Namun saya faham bahawa terdapat pelamar yang lain. Saya tidak dapat katakan sama ada mereka lelaki sejati atau hanya mat jenin. Apa juga kemungkinan kesnya, rayuan saya adalah jangan biarkan nama Malaysia Airlines berkubur,” tegasnya.

Meskipun kerajaan dan pembayar cukai mungkin tidak mampu lagi untuk terus kehilangan wang ke atas Malaysia Airlines, “ini tidak bermakna gulung tikar adalah satu-satu jawapannya,” katanya.

Beliau memberi bayangan bahawa syor telah dibuat kepada kerajaan untuk Malaysia Airlines ditutup.

“Saya kata, jangan terlalu cepat. Ini tampak sebagai jalan keluar yang mudah. Saya menghidu sesuatu yang kurang menyenangkan. Malah mencurigakan,” katanya.

Malaysia Airlines, katanya, merupakan nama hebat yang diiktiraf seluruh dunia, dan terdapat banyak jalinan muhibah yang terikat padanya. Ia adalah jenama yang mempunyai “nilai kewangan agak besar”, katanya.

Kadir turut menegaskan bukan sesuatu yang memalukan untuk menjualnya.

“Malah negara kaya seperti Switzerland dan Belanda menjual syarikat penerbangan kebangsaan mereka kepada syarikat penerbangan asing — masing-masing kepada Lufthansa dan Air France. Malaysia Airlines telah menjalin perkongsian dengan banyak syarikat penerbangan asing sama ada menerusi usaha sama atau perkongsian kod, yang terbaru adalah dengan Japan Airlines dan Singapore Airlines,” katanya.

Bagaimanapun, menutup Malaysia Airlines malah akan mewujudkan duopoli oleh AirAsia dan Malindo Airways, tegasnya.

“Tiada satu daripadanya dapat mengisi kekosongan itu kerana model perniagaan mereka adalah berbeza daripada Malaysia Airlines,” kata Kadir. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

1MDB menjurus kepada malu dan aib

SHAH ALAM, 23 SEP: Siasatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi malu dan aib kepada negara.

Bekas Ketua Pengarang New Sraits Times (NST), Datuk A Kadir Jasin, berkata keadaan itu lebih serius apabila perdana menteri menjadi individu disyaki di luar negara.

kadir_jasinKatanya, berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad yang dibenci pemimpin Amerika Syarikat (AS) kerana lantang mengkritik negara itu, namun mereka tidak pernah menubuhkan badan untuk menyiasat beliau.

“Obama amat menyayangi Najib (atau Najib berasa beliau disayangi) kerana bersikap sederhana, tetapi Amerika menubuhkan Juri Agung untuk menyiasat dakwaan rasuah ke atas beliau.

“Orang tua-tua di Kedah kata, nak tergelak. Lucu tapi tak cukup lucu untuk ketawa,” tulisnya di blog.

The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS membuka kertas siasatan terhadap 1MDB berkenaan dakwaan pengubahan wang haram.

WSJ mendakwa FBI memulakan siasatan selepas seorang bekas ahli parti pemerintah ditangkap sebelum berlepas ke AS untuk membuat aduan polis dan mendesak FBI menyiasat 1MDB.

Pada 19 September lalu, polis menangkap bekas pemimpin Umno, Datuk Khairuddin Abu Hassan bagi membantu siasatan kerana didakwa melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Najib-1MDBKhairuddin yang juga ahli perniagaan dan peguamnya Matthias Chang sepatutnya berlepas ke AS hari ini untuk bertemu dengan pegawai FBI. Pertemuan itu diatur oleh Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, rancangan itu terbantut selepas Jabatan Imigresen melarang beliau dan Chang daripada meninggalkan negara sebelum Khairuddin ditangkap pada sebelah malamnya.

Khairuddin sebelum ini membuat laporan terhadap 1MDB di Switzerland, London, Singapura dan Hong Kong.

Categories
NASIONAL

Kadir Jasin: Tak pelik jika Najib diheret ke mahkamah

SHAH ALAM, 8 JUL: Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan bukan sesuatu yang pelik jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diheret ke mahkamah dengan tuduhan jenayah.

Katanya, hal itu berikutan Najib langsung tidak menafikan wang AS$681 juta (kira-kira RM2.6 bilion) dalam akaun AmBank seperti didedahkan Wall Street Journal.

“Sama ada akaun berkenaan masih cergas, tidak aktif atau sudah ditutup bukan isunya. Persoalannya, Mohd Najib pernah ada RM2.6 bilion dalam akaun itu.

kadir_jasin“Apa susahnya beliau atau AmBank menafikan yang akaun atas nama Mohd Najib itu tidak pernah wujud.

“Lebih utama bukan kewujudan akaun itu tetapi daripada mana datangnya dana terbabit dan apa kegunaannya,” katanya memetik Malaysia Kini.

Bekas ketua pengarang kumpulan NSTP itu menulis demikian di blognya, kadirjasin.blogspot.com hari ini selepas meneliti kenyataan Najib berhubung tuduhan terbabit.

Beliau berkata, Najib hanya menyebut tidak pernah mengambil dana untuk kegunaan peribadi sama ada dari 1MDB, SRC International atau pihak lain.

“Sampai hari ini beliau tidak menafikan bahawa akaun atas nama beliau dengan simpanan AS$681 juta itu pernah wujud, tetapi ditutup tidak lama selepas pilihan raya umum 2013,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan ahli politik terkemuka yang memilih untuk meletak jawatan apabila dikaitkan dengan kes rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

1MDB“Ada yang berakhir di mahkamah dan sebaliknya, tetapi umumnya ahli politik yang terbabit meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau juga membuat kesimpulan itu berdasarkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan pasukan petugas khas yang turut melibatkan Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu.

“Pembekuan enam akaun bank milik pihak yang dipercayai terlibat dengan kes akaun Mohd Najib, pada 6 Julai lalu memberi gambaran mereka tidak mahu berselindung lagi.

“Ia memperkukuhkan lagi bukti bahawa akaun yang didakwa WSJ itu wujud,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kadir Jasin: Pemimpin persenda rakyat isu kenaikan harga barang ‘cetek akal’

SHAH ALAM 26 JAN: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Datuk A Kadir Jasin menyifatkan pemimpin yang mempersendakan kesulitan rakyat dalam berdepan dengan kenaikan harga barang sebagai “cetek akal”.

Tanpa menamakan individu tertentu secara spesifik, Kadir Jasin menegaskan, isu kenaikan harga adalah suatu yang serius dan sesuatu realiti dihadapi rakyat bawahan ketika ini.

barang naik copy1“Kenaikan harga adalah suatu yang sangat serius, sesiapa yang mempersendakannya adalah cetek akal.

“Kenyataan sesetengah pemimpin tentang kenaikan harga, sesiapa yang mempersendakannya adalah berfikiran cetek,” kata Kadir dipetik dari The Malaysian Insider.

Kadar inflasi di Malaysia melonjak daripada 2.9 peratus pada November kepada 3.2 peratus pada Disember 2013, berpunca daripada pengurangan subsidi dan dijangka meningkat pada tahun 2014.

Kadar tersebut adalah yang tertinggi sejak November 2011, purata peningkatan setiap tahun inflasi naik daripada 1.9 peratus pada November kepada 2.1 peratus pada Disember.

Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula, antara lain mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga barang-barang lain turut meningkat.

a. kadir jasin(m)Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima kritikan keras daripada rakyat dan pemimpin parti sendiri ekoran keputusan tidak popular itu yang dilakukan secara drastik.

Secara tidak langsung mengakui tekanan yang dihadapi kerajaan, Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat mengumumkan peruntukan RM20 juta bertujuan menstabilkan harga barang di pasaran.

“Adakah jumlah peruntukan 20 juta itu memadai untuk menstabilkan kenaikan harga barang yang begitu meluas?

“Saya ingat satu hari rakyat Malaysia membelanjakan berbilion untuk beli minyak, beli makanan, bayar bil elektrik dan bayar tol. Jadi, adakah 20 juta itu memadai?” soal Kadir mengulas tentang peruntukan yang diumumkan Najib itu.

Kadir turut menggesa Kerajaan Pusat supaya bertegas dalam isu kenaikan harga barang dengan mengenakan hukuman lebih berat.

Dalam pada itu wartawan veteran itu juga mahu kerajaan sedia ada mementingkan hak rakyat dan bukannya bersikap seperti kerajaan sepenuh masa dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan.

EZY

 

Categories
NASIONAL

Gantung The Heat, Najib Razak mungkir janji wujud media bebas

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 22 DIS: Penggantungan akhbar mingguan The Heat oleh Kerajaan Pusat melanggar ikrar janji yang pernah dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mewujudkan kebebasan media di negara ini.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press Berhad, Datuk A Kadir Jasin, berkata Kementerian Dalam Negeri mungkin terlupa bahawa Najib Razak ada membuat janji demikian sebelum ini seperti yang tertera di laman web rasmi 1Malaysia.

kadirjasinKatanya, ahli politik dan pegawai Kerajaan di Putrajaya tidak mengambil pengajaran daripada kesilapan mereka dalam menangani serangan dari penulis blog sejak sedekad lalu.

“Serangan mereka terhadap penulis blog yang dilaporkan secara meluas oleh media arus perdana membuat rasa ingin tahu orang ramai mengenai blog itu yang kemudiannya memberikan publisiti kepada blog berkenaan.

“Dan mereka tidak lama lagi mula untuk melayari internet untuk mencari apa kekecohan itu semua kira-kira. Banyak kemudian menjadi pengikut setia blog,” kata Kadir tulisan di blognya.

Katanya, penggantungan akhbar The Heat tanpa sebarang alasan konkrit, bukan tindakan proaktif kerana sesetengah akhbar semakin berkembang selepas digantung.

Mengambil contoh akhbar milik MCA, The Star dan Sin Chew Daily yang digantung penerbitannya pada 1987, kedua-dua akhbar berkenaan kini menjadi akhbar utama bacaan rakyat.

theheat“Bagi The Star dan Sin Chew, penggantungan meningkatkan profil dan jualan mereka apabila mereka kembali diterbitkan,” kata Kadir.

Akhbar mingguan The Heat dikatakan digantung penerbitannya berikutan laporan muka hadapan berkenaan perbelanjaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

The Heat dilancarkan September lalu digantung pada minggu ini selepas menerima surat tunjuk sebab kedua daripada KDN.

“Sepanjang pengetahuan saya, Pejabat Perdana Menteri mempunyai ramai individu memerhatikan media untuknya, termasuk Kumpulan Tindakan Komunikasi (CAG),” kata Kadir.

EZY

Categories
NASIONAL

Kritikan Kadir Jasin bukti pertembungan puak dalam Umno

KUALA LUMPUR 10 DIS: Kritikan bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Datuk A. Kadir Jasin terhadap Datuk Seri Najib Razak membuktikan bibit perpecahan dalam Umno.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata kritikan bekas wartawan berpengalaman itu mewakili suara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak percaya dengan kepimpinan Najib.

“Sebagai orang yang rapat dengan Mahathir, kita percaya ia mungkin kritikan yang mewakili Mahathir sendiri. Akibat kritikan ini, akan ada dua puak yang tidak sependapat dalam Umno,” katanya.

a. kadir jasin(m)Kadir Jasin pada 8 Disember lalu secara sinis mencadangkan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilantik ke jawatan menteri, malah ke jawatan perdana menteri.

“Langkah itu bagi menjimatkan perbelanjaan negara kerana jasa berkenaan menunjukkan Rosmah lebih cekap daripada menteri sedia ada, sindir Kadir dalam tulisannya melalui blognya.

Abdullah Sani berkata, peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Penasihat Petronas beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menguatkan lagi pertembungan puak terbabit.

Katanya, pertembungan Najib dengan Mahathir lebih buruk berbanding pertembungan Mahathir dan bekas Perdana Menteri sebelum Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Pak Lah tidak melayan kritikan Mahathir terhadapnya. Ini berbeza dengan Najib dan penyokongnya yang dilihat aktif mencari alasan dan membela diri apabila dikritik,” katanya Keadilan Daily.

Beliau menyifatkan PAU sebagai ‘Perhimpunan Agung Najib’ digunakan untuk membersihkan nama Perdana Menteri itu dan sikap isterinya yang boros menggunakan wang rakyat.

“Tiada langsung agenda penting seperti pendidikan dan kebajikan rakyat,” katanya, menambah pertembungan pemimpin dalam Umno menyaksikan nasib ahli parti ibarat ‘gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’.