Categories
SELANGOR

MB terkenang masak rendang, biskut sugi bersama ibu semasa kecil

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 25 JUL: Mungkin tida siapa menyangka memasak rendang, biskut sugi dan kuih semperit bukan perkara asing bagi Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Ini berikutan, membantu ibu tercinta, Che Tom Yahaya menyediakan ketiga-tiga juadah tradisi hari raya itu setiap kali sebelum menjelang Syawal sudah menjadi salah satu aktiviti wajib beliau semasa kanak-kanak.

Azmin MBBukan itu sahaja, malah Mohamed Azmin turut berjaya mewarisi resepi istimewa rahsia rendang ibunya walaupun kini menjawat kerusi Menteri Besar Selangor.

“Dulu saya selalu bantu ibu saya buat kuih raya, antaranya kuih raya yang selalu saya bantu setiap malam di dapur adalah kuih sugi dan semperit.

“Sehingga sekarang saya masih membantu dan antara masakan yang selalu saya buat sendiri, masakan rendang resepi ibu saya, cuma sekarang kurang masa sedikit.

“Kalau saya pencen nanti saya boleh buka restoren dan saya jadi penyaji makanan membekalkan rendang istimewa resepi ibu saya,” kata Mohamed Azmin kepada pemberita pada program Jelajah Amanat Presiden di Dewan Sri Siantan, di sini, semalam.

Cerita Mohamed Azmin lagi, berbanding sekarang teknologi canggih digunakan bagi membolehkan tarikh hari raya puasa diketahui lebih awal, ketika itu tarikh sebenar raya hanya diketahui pada malam melihat anak bulan Syawal sehingga menimbulkan perasaan mendebarkan.

“Ada ketikanya bila diumumkan tak nampak anak bulan, persiapan rendang boleh ditangguhkan tetapi sekarang ini dengan teknologi sedia ada kita lebih bersedia menentukan tarikh hari raya,” katanya lagi.

Mohamed Azmin juga berharap agar tradisi kemeriahan hari raya seperti bertakbir dan bermaaf-maafan terus disuburkan dengan kembali kepada fitrah manusia yang cintakan keamanan serta menjauhi segala laranganNya.

“Suasana di zaman kanak-kanak dapat pakai baju baru, kasut baru memang menyeronokkan tetapi sekarang sebagai bapa sebagai pemimpin kita gunakan kesempatan hari raya untuk mengajak umat Islam keseluruhannya memahami apakah asas Aidilfitri itu kerana ini bukan perayaan biasa tetapi terikat dengan ibadat umat Islam.

“Saya dibesarkan di Kampung Klang Gate sejak 1968 pada usia empat tahun sebab itu pada malam raya baru ini saya kembali semula untuk bersama dengan pimpinan dan kariah Kampung Klang Gate dalam program takbir raya yang bermula di rumah ibu saya. Suasana itu sangat meriah.

“Memang ada perbezaan dengan zaman kanak-kanak tetapi kemeriahannya masih kekal dan subur,” kata Mohamed Azmin lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.