Categories
SELANGOR

Program usahawan agro muda bendung trend tanah dipajak

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 JUL: Program Usahawan Agro Generasi Muda diadakan bagi memastikan setiap tanah pertanian diusahakan generasi sebelumnya diteruskan sendiri waris mereka dan bukannya dipajakkan untuk diusahakan pihak ketiga.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata usaha itu bagi mengurangkan kebergantungan sumber makanan dari import.

YB Zaidy menyampaikan geran projek pertanian di Kuala Selangor (12)“Kita dapati ada perkembangan kurang menarik apabila petani generasi lama kebanyakan sudah tua dan ada diantara mereka memajakkan tanah mereka kepada pihak ketiga termasuk orang luar Selangor untuk mengusahakannya.

“Penglibatan generasi muda ini kami anggap penting bagi memastikan golongan ini dapat mewarisi usaha pertanian dijalankan ibu bapa mereka sebelumnya sekaligus menjadikan pertanian sebagai kerjaya yang mampu memberi pulangan menarik,” kata Zaidy ketika dihubungi Selangor Kini.

Jelas beliau antara langkah sudah diambil dalam program terbabit termasuk mengadakan Seminar Usahawan Agro Generasi Muda Selangor di Carlton Holiday Hotel & Suites, Shah Alam pada 31 Mei lalu.

Katanya lagi, antara isi kandungan seminar yang dihadiri 186 perserta itu, pendedahan testimoni kejayaan usahawan agro lain, pembentangan kertas kerja daripada jabatan-jabatan pertanian dan perikanan, pendedahan mengenai pinjaman yang boleh diperolehi dan lain-lain.

Pihak beliau turut menemuduga peserta bagi mengenalpasti mereka yang mempunyai potensi sebagai usahawan muda agro yang boleh dibantu.

“Setakat ini kami sudah kenalpasti 40 usahawan agro muda dan dijangkakan hujung bulan ini selesai proses turun padang, menemuduga dan mengenalpasti bentuk bantuan diperlukan usahawan muda yang dipilih.

“Antara keutamaan kami, pertanian diusahakan di atas tanah sendiri dan sudahberkecimpungan dalam bidang pertanian,” kata Zaidy lagi.

Tambah Zaidy, 40 usahawan agro muda yang dipilih kebanyakkan melibatkan diri dalam bidang pertanian mitigasi, penternakan lembu dan kambing dan tanaman kontan lain.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.