Categories
SELANGOR

Rombakan kabinet jejas sektor pendidikan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 JULAI: Rombakan kabinet yang memperlihatkan kewujudan dua kementerian berlainan bagi pendidikan dan pengajian tinggi dijangka akan menjejaskan sektor itu.

Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata setiap menteri yang mengambil alih portfolio pendidikan akan mengetengahkan agenda sendiri dan ketidakselarasan itu menyebabkan berlakunya masalah.

Katanya, ia juga mengakibatkan kekeliruan dan membantutkan sebarang usaha pemulihan ekoran sistem terdahulu baru sahaja ditetapkan berikutan pelantikan kabinet tahun 2013.

niknazmi“Pelantikan Mahadzir Khalid sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digulingkan memberi isyarat salah kepada rakyat yang kini begitu mengharapkan reformasi sebenar dalam sektor pendidikan.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) seakan tidak pasti apa hala tuju yang hendak diambil.

“Justeru, setiap usaha yang dijalankan sebelum ini untuk memulihkan sektor pendidikan mungkin sia-sia,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Nazmi berkata, umum mengetahui sektor pendidikan di negara ini sedang mengalami penyusutan, justeru rombakan itu langsung tidak membantu dalam meningkatkan prestasinya.

Katanya ia sekali gus akan menggugat penyelarasan sektor pendidikan serta mengorbankan kemakmuran rakyat di negara ini.

“Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN sepatutnya sedar bahawa kegagalan mereka untuk memainkan peranan sebagai badan pentadbir sedang merosakkan sistem yang akhirnya memberi kesan tidak baik kepada generasi akan datang,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.