Categories
BERITA UTAMA

Seronoknya naik bas percuma Selangorku

Oleh: LIZAWATI MADFA

Lebih lima tahun tidak menaiki bas, perasaan semestinya berdebar-debar untuk menggunakan perkhidmatan awam itu. Entah apa rupa bas percuma, Bas Selangorku. Sedangkan yang berbayar pun tidak selesa. Yang percuma ini macam mana.

Demi tugas, aku dan sahabat, Remy menunggu di pintu masuk utama Bangunan SUK. Jam menunjukkan 11.40 pagi. Tidak sampai lima minit, kelihatan bas Rapid dengan tag elektronik, ‘Bas Selangorku’. WB 3284 N. Bas baru. Detik hatiku.

Kami masuk disambut senyuman pemandu bas yang kemudian aku dapat tahu namanya Roslan Ramli berusia 48 tahun.

DSC_9836 Terdapat dua penumpang sedia ada dalam bas. Dari pakaian mereka, aku yakin mereka berdua pelajar. Kalau di Shah Alam sama ada Unisel atau UiTM.

Kemudian mata aku terus meliar memerhatikan perut bas. Memang betul bas baru. Bau kilang. Aku berjalan perlahan dari ruang hadapan ke belakang.

Tempat duduknya berwarna biru. Bahagian hadapan siap dengan ‘seat belt’. Ruangan tengah sa-ling menghadap dan lebih rendah daripada tempat duduk lain. Bahagian belakang tempatnya lebih tinggi.

Ada juga ruangan yang agak luas. Betul-betul berhadan pintu keluar di bahagian tengah bas. Oh untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) atau untuk mereka yang berkerusi roda. Bagaimana si OKU dan yang berkerusi roda mahu naik bas. Fikirku. Aku biarkan persoalan itu dahulu.

Aku ke hadapan semula, menghampiri pemandu bas yang sedari awal tidak lokek senyuman.

DSC_9818“Kalau masa begini, memang orang agak kurang, tapi kalau waktu puncak pagi dan petang memang ramai. Begitu juga Sabtu dan Ahad,” kata Roslan yang nampaknya peramah, menyenangkan kerja kami.

Tidak dinafikan, perkhidmatan yang disediakan Kerajaan Selangor itu memang selesa, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Ada pemadam api, peti pertolongan cemas, CCTV, ruangan luas, dan akan datang sistem perkhidmatan Wifi.

Di bahagian hadapan, terdapat skrin yang memaparkan laluan dan perhentian bas. Terdapat 22 perhentian. Antaranya, SUK, UiTM, Unisel, Jakel, Hospital Shah Alam, Pasar Seksyen 6, Dataran MBSA dan Hentian Komuter Seksyen 19.

Nampaknya penumpang agak ramai di kalangan pelajar, bukan sahaja pelajar universiti, ada juga pelajar sekolah menengah.

“Percuma dan selesa, siapa tidak mahu. Lagi-lagi dalam keadaan ekonomi kurang baik sekarang,” kata pelajar jurusan Akaun Unisel, S. Kokilavani ketika diminta komen ringkas.

“Tetapi tidak ramai yang tahu, rasanya Kerajaan Selangor perlu perhebat lagi promosi. Jika tidak rugilah peruntukan berjuta-juta,” sambungnya.

Setuju. Memang nampaknya orang kurang tahu. Orang mungkin nampak ‘Bas Selangorku’ terpampang depan bas, tetapi orang tidak tahu ke mana laluan bas ini sebenarnya. Apakah lalu dekat dengan tempat tinggal mereka.

bas selangorku 2Apapun, Roslan harus dipuji. Dia bertindak mempromosi bas. Setiap kali berhenti di perhentian, dia akan membuka pintu hadapan dan menyapa orang ramai untuk masuk. Malah menerangkan perhentian mana dilalui bas. Inisiatif terpuji.

Sepanjang perjalanan, kami hanya melihat satu banner sahaja di Hentian Komuter Seksyen 19. Itupun banner pelancaran pada 1 Julai lalu. Selain dari itu tidak ada pemberitahuan atau promosi lain di speanjang jalan. Benar. Promosi sangat diperlukan.

Kami berhenti lama di Seksyen 19. Sambil menunggu penumpang, kami berborak panjang dengan Roslan.

Lebih 11 tahun bekerja di Rapid Sdn Bhd, Roslan menerangkan setiap kemudahan dalam bas berkenaan.

Katanya, segala pergerakan bas dipantau rapi oleh Rapid di ibu pejabat di Cheras Selatan melalui sistem GPS. Perhubungan atau sebarang panggilan juga dilakukan secara ‘walkie talkie’ yang diletak bersebelahan stereng, memudahkan pemandu.

“Kita ada CCTV (Kamera Litar Tertutup). Jadi saya dapat lihat dari tempat duduk sahaja pergerakan para penumpang, sama ada mereka selesai turun bas atau sebagainya,” katanya yang sentiasa bersemangat, walaupun berpuasa. Menunjukkan beliau cintakan kerjayanya.

Selepas 15 minit menunggu, tiada penumpang baru. Kekal kami berdua dan Roslan. Roslan mula menutup pintu masuk bas dan bergerak meneruskan ‘trip’ seterusnya. Sebanyak 16 trip dilakukan Roslan dan pemandu lain setiap hari, bermula jam 6 pagi hingga 9 malam.

Katanya terdapat lima buah bas, empat yang digunakan sementara satu sebagai simpanan jika berlaku masalah kepada bas lain. Ini bagi menjamin kelancaran perkhidmatan.

Sewaktu meluncur untuk ke SUK, terserempak Bas Selangorku yang lain berlawanan arah. Lajunya. Tegur Remy yang sejak tadi asyik mengambil gambar.

“Bas Rapid hanya boleh pergi setakat 80 kilometer sejam, tidak boleh lebih. Tengok ni,” tepis Roslan sambil menekan pedal minyak, namun memang benar hanya setakat itu sahaja.

“Kalau ada cakap laju itu sama sekali tidak benar,” sambungnya. Remy tersengih cuma.

Bas SelangorkuSesampai di SUK, sebelum turun bas aku melihat kawasan pintu masuk bas sebelum turun. Memikirkan bagaimana seorang OKU atau berkerusi roda dapat masuk bas.

Roslan faham. Dia senyum dan melakukan sesuatu. Aku melihat bas itu tampak lebih rendah kedudukannya, memudahkan orang melangkah masuk, tidak terlalu tinggi seperti aku masuk awal tadi.
“Kita boleh ‘adjust’ bagi tinggi rendah. Itulah dikatakan mesra OKU.

“Untuk yang berkerusi roda pula di bahagian pintu tengah ini. Kita buka ini dan turunkan, jadi mereka boleh sorong naik, kita pun sedia bantu,” katanya sambil melakukan demo.

Tepat jam 12.40 tengah hari. Tamatlah perjalanan kami untuk kembali ke SUK.

Kalau begini perkhidmatan bas yang ada, kami pun mahu menggunakan pengangkutan awam sahaja. Lagilah dalam keadaan nilai ringgit terendah dalam sejarah, minyak naik, GST, tol juga bakal naik. Memang jimat sangat kalau ada bas percuma.

Malangnya kami tiada peluang itu. Tempat tinggal kami begitu jauh dari laluan Bas Selangorku.
Benar kata Exco Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim pada hari pelancaran minggu lepas. Rugilah jika rakyat Selangor tidak memanfaatkan perkhidmatan ini.

Tetapi nampaknya sekarang ramai lagi rakyat tidak tahu. Sesuatu harus dilakukan Datuk.

Dan untuk aku sendiri, pengalaman menaiki Bas Selangorku bukan seperti bas henti-henti yang lain. Rasanya lebih selesa daripada menaiki kenderaan sendiri. Aku takkan keberatan untuk naik hari-hari. Tak mungkin berdebar lagi.

# Lizawati adalah wartawan SelangorKini

Leave a Reply

Your email address will not be published.