Categories
NASIONAL

Azmin: Berhenti tipu rakyat, Najib!

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta berhenti mempermainkan rakyat apabila mula menyalahkan ‘mainan dan spekulasi politik’ negara menyebabkan kejatuhan Ringgit Malaysia.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata Najib perlu bertanggungjawab dalam hal itu bukan orang lain.

“Ringgit makin susut berbanding Dollar AS, sepatutnya Najib mengambil tanggungjawab, itu hakikatnya.

MB Azmin“Kenyataan perdana menteri semalam yang ‘mainan dan spekulasi politik yang keterlaluan menyebabkan sentimen tidak menentu terhadap pentadbiran negara’, jelas bertujuan menyalahkan pihak lain selain dirinya yang mengakibatkan krisis matawang,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, berkata ringgit yang jatuh menjunam hanya boleh dihentikan jika ada perubahan besar dalam kepimpinan negara.

Katanya, hal itu perlu bagi mengelakkan Malaysia daripada bencana politik dan ekonomi.

“Tiada apa selain perubahan besar dalam kepimpinan dan kesaksamaan politik boleh menghentikan kejatuhan merudum itu serta memelihara kita dari ambang bencana negara,” katanya.

Mohamed Azmin hari ini, berkata orang ramai tidak terpedaya dengan “grandstanding” Najib dan “sound bites” perhubungan awam beliau.

“Ringgit dijangka terus lemah selagi ketidaktentuan politik berterusan.

“Oleh itu, perdana menteri mesti berhenti berpura-pura mempamerkan seolah-olah keadaan berjalan seperti biasa.

Najib-1MDB“Beliau boleh terus memimpin negara keluar daripada keadaan huru-hara ini hanya dengan menyingkirkan timbalannya dan melantik menteri baru bagi menunjukkan sokongan yang dimilikinya,” katanya.

Azmin merujuk kepada tindakan Najib yang merombak kabinetnya dengan menggugurkan mereka yang mengkritik cara beliau mengendalikan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Azmin berkata, Najib gagal membersihkan dirinya dari skandal kewangan 1MDB yang melibatkan hutang RM42 bilion, khususnya wang RM2.6 bilion dalam akaun beliau yang dikatakan sumbangan penderma politik serta kesannya terhadap negara.

Beliau berkata, memang wujud faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan ringgit seperti penurunan harga minyak, kemungkinan kenaikan kadar faedah AS dan susut nilai yuan China.

“Tetapi faktor ini memberi kesan kepada matawang lain di rantau ini juga. Persoalannya, mengapa ringgit paling teruk antara semua matawang utama serantau?” soal Azmin.

Katanya, tindakan pembubaran anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), rombakan kabinet dan halangan jelas terhadap penyiasat anti-rasuah yang menyiasat syarikat berkaitan 1MDB juga menampakkan seolah-olah ada pakatan sulit juga konspirasi dalam kerajaan yang memburukkan lagi persepsi negatif terhadap kepimpinan negara.

Semalam, Najib bersuara ketika nilai ringgit berada pada tahap RM4 untuk satu dolar AS.

Najib cuba menenangkan keadaan dengan memberi jaminan untuk berusaha sedaya upaya menangani masalah itu.

Najib mengenal pasti beberapa masalah berkaitan kejatuhan nilai ringgit termasuk menyalahkan ‘spekulasi politik keterlaluan’.

Bagaimanapun, setakat jam 11.10 pagi tadi ringgit diniagakan pada 4.1223 untuk satu dolar (AS) iaitu penurunan 2.3 peratus daripada indeks pembukaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.